Anda di sini

Ekonomi Sarawak meningkat

Advertisement
 Wong (tengah) bersama Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Kameri Affandi serta Menteri Muda E-Dagang Datuk Mohd Naroden Majais sebelum menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan DUN semalam.
TELITI: Wong (tengah) bersama Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Kameri Affandi serta Menteri Muda E-Dagang Datuk Mohd Naroden Majais sebelum menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan DUN semalam.

KUCHING: Ekonomi Sarawak dijangka berkembang pada 5.0 peratus pada 2019 berbanding 4.6 peratus tahun ini.

Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata perkembangan itu disokong suntikan lebih tinggi dalam pelaburan awam bagi melaksanakan projek-projek infrastruktur utama.

Beliau berkata projek-projek infrastruktur utama itu seperti inisiatif transformasi, projek-projek tinjauan mesra, rangkaian jalan raya serta bekalan elektrik dan air di seluruh negeri.

“Sebagai tambahan, terdapat beberapa projek infrastruktur lain oleh RECODA (Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah) untuk dilaksana di bawah tiga agensi pembangunan negeri iaitu Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Tengah (NRDA).

“Projek Lebuh Raya Pan Borneo juga menyokong perkembangan ekonomi Sarawak pada 2019,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Mengenai Belanjawan Sarawak 2019, Wong berkata belanjawan tahun depan cederung kepada pembangunan dan memfokus kepada luar bandar dengan RM9.073 bilion atau 76 peratus akan diperuntukkan bagi tujuan pembangunan manakala RM2.841 bilion (24 peratus) untuk perbelanjaan operasi.

“Belanjawan Sarawak 2019 menyaksikan daripada RM9.073 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan, 67 peratus atau RM6.049 bilion bagi projek-projek dan program-program di kawasan luar bandar,” katanya.

Menurutnya ia merupakan strategi penting untuk mencapai aspirasi Kerajaan Sarawak dalam mempercepatkan pembangunannya agar setanding dengan Semenanjung Malaysia, merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Selain itu katanya, strategi itu bertujuan meningkatkan kesejahteraan penduduk khasnya di luar bandar dan mencapai visi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Wong yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang berkata Sarawak menetapkan untuk mencapai aspirasi-aspirasi itu menerusi pelan memperhebatkan pembangunan dengan melaksanakan projek-projek berpusatkan rakyat dan berimpak tinggi.

Pelan itu katanya, akan membuka lebih banyak kawasan di luar bandar kepada aktiviti-aktiviti ekonomi produktif dan penyediaan peluang pekerjaan lebih baik kepada belia serta memperkukuhkan taraf hidup komuniti luar bandar dan membasmi kemiskinan.

“Itu adalah impian muktamad untuk memastikan hasil usaha-usaha pembangunan dinikmati semua rakyat Sarawak dan memastikan ekonomi Sarawak kekal bertahan dalam jangka panjang,” katanya.

Selain itu katanya, Sarawak akan meneruskan inisiatif transformasi luar bandar dan sosioekonomi yang meliputi pelaksanaan infrastruktur asas, bekalan air dan elektrik, membaiki pulih sekolah usang dan lain-lain.

Sarawak juga katanya, meneruskan inisiatif pendigitalan kerana ia merupakan teras utama untuk masa depan ekonomi negeri ini.

“Kita akan terus melaksanakan inisiatif-inisiatif ekonomi digital Sarawak untuk memanfaatkan penjanaan digital bagi produktiviti lebih tinggi dan mempromosikan perniagaan e-dagang bagi melonjakkan ekonomi negeri,” katanya.

Pada masa sama katanya, Kerajaan Sarawak akan terus memudahkan sektor swasta sebagai enjin utama pertumbuhan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi negeri.

  • oleh
  • Advertisement