
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah akan menganjurkan Pesta Pantai Tanjung Aru selama tiga hari di Taman Prince Phillip, bermula 23 November ini.
Menterinya Datuk Christina Liew berkata acara itu diadakan dengan kerjasama persatuan setempat dan badan bukan kerajaan, bertujuan menggalakkan pengunjung pantai menjaga kebersihan pantai di Kota Kinabalu.
“Pesta ini merupakan acara bebas sampah dan diharapkan dengan bantuan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu kita akan dapat mengembalikan keindahan dan kebersihan Tanjung Aru selain mempromosikan pantai awam kita sebagai produk pelancongan dengan pemandangan matahari terbenam yang indah,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Liew berkata pesta itu akan mengetengahkan beberapa acara antaranya pertandingan fotografi burung, persembahan dram Cina, interaksi langsung dengan hidupan marin serta tayangan filem berkaitan alam sekitar dan sukan tradisional.
Beliau berkata aktiviti lain termasuk bola sepak pantai tiga sebelah, yoga waktu senja dan bengkel kreatif selain kendera saji dan pelbagai gerai disediakan untuk pengunjung.
“Kepada orang ramai dan pengunjung, datanglah dan nikmatilah kemeriahan di pantai Tanjung Aru,” katanya. - Bernama