
BEAUFORT: Seorang lelaki maut selepas dihempap jengkaut yang terjatuh semasa pembinaan laluan Lebuhraya Pan Borneo di Kampung Tandoi, Jalan Papar-Beaufort, di sini, Sabtu.
Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Razali Denah berkata mangsa dikenali sebagai Raymond Malintang, 45, disahkan meninggal dunia serta-merta dalam kejadian jam 3.50 petang itu.
Katanya sebaik menerima panggilan pada jam 3.57 petang, lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort bergegas melakukan operasi penyelamatan.
“Kejadian membabitkan jengkaut yang tergelincir sebelum rebah semasa menjalankan kerja pembinaan laluan jalan raya Pan Borneo lalu menghempap mangsa yang berada berdekatan kenderaan berat terbabit semasa kejadian.
“Mangsa bagaimanapun sudah dikeluarkan oleh orang ramai sebelum ketibaan anggota bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya.
Menurutnya mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan jam 5.59 petang kemudian.