Anda di sini

Larrong buat persembahan hingga ke Jepun

Advertisement
 Larrong membuat persembahan di Jepun.
BERTENAGA: Larrong membuat persembahan di Jepun.

BAND ‘death metal’ dari Matu, Sarawak, Larrong telah menggegarkan negara matahari terbit pada bulan September lalu sempena jelajah promosi mini album terbaru bertajuk ‘Ritual Decapitation.

Larrong yang bermaksud keranda dalam bahasa etnik Melanau Sarawak, memulakan jelajah mereka pada 21 September di Osaka, seterusnya Nagoya, Yokohama dan berakhir di Tokyo pada 24 September sempena Everloud Fest Japan Vol. 2.

Ketika ditemui, gitaris dan jurucakap Larrong, Taz Larrong memberitahu hampir 270 keping cakera padat mini album ini dan 150 helai baju T jelajah Jepun Larrong terjual semasa jelajah tersebut.

“Sehingga kini baju T jelajah Jepun dan mini album terbaru Larrong masih mendapat permintaan ramai,” ujarnya.

Bercerita pengalaman bermain di Jepun, Taz memberitahu mereka mulanya ditawar oleh penganjur di Tokyo untuk bermain dalam acara festival muzik tahunan di sana iaitu Everloud Fest Japan.

Beberapa band dari England, Mexico, China, Amerika, Indonesia serta beberapa negara lagi turut bersama dalam festival itu.

“Saya pun buat mesyuarat dengan ahli band dan berbincang dengan pengurus kami dari Muzik Box Production. Saya meminta pengurus kami, Fadzil menguruskan booking agen di Jepun untuk show di tempat lain.

“Seminggu selepas itu saya dimaklumkan oleh pengurus kami, sebelum Tokyo, Larrong akan bermain di Osaka, Nagoya dan Yokohama,” ujarnya.

 Taz (tiga kanan) bersama rakan-rakan band yang lain berswafoto ketika jelajah di Jepun.
JELAJAH: Taz (tiga kanan) bersama rakan-rakan band yang lain berswafoto ketika jelajah di Jepun.

Namun sebelum bertolak ke Jepun, mereka terpaksa berhadapan beberapa halangan di mana bassis (Hadi), gitaris (Aziz) dan drummer (Adi) tidak dapat bersama disebabkan tidak mendapat kelulusan untuk keluar negara.

“Untuk itu kami mendapatkan pemuzik undangan untuk bass sahaja dan sepakat menggunakan khidmat Kombat, gitaris dari band The Pilgrims/Kugiran Di Tepi Pantai untuk menggalas posisi bass.

“Bagi jelajah Jepun, Larrong turut menggunakan khidmat Shaun Harun dari Sabah untuk posisi drum,” jelas Taz yang hanya pergi ke Jepun bersama vokalis asal, San Burns.

Menurut Taz, jelajah Larrong di Jepun berjalan dengan sukses dan mereka mendapat pengalaman yang sangat berharga dari sana terutama dalam pengurusan acara, pengurusan band, disiplin sebagai sebuah band, ketepatan masa dan pelbagai lagi yang positif.

Sebelum berlepas ke Jepun, Larrong turut mendapat sokongan Majlis Seni Sarawak dari Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sarawak, dimana mereka telah membuat persembahan secara ‘live’ di Kuching di hadapan dua pegawai kementerian pada Ogos lepas.

”Agak gementar juga kami masa tu kerana diberitahu hasil temuduga dan video ‘live’ kami ini akan diserah kepada Ketua Pegawai Eksekutif mereka untuk dinilai.

“Memang pada mulanya agak kekok sedikit bermain di depan hanya dua orang pegawai yang duduk dengan pen di jari serta merakam aksi live kami…tapi kami all out kan tenaga yang ada dan akhirnya sukses,” seloroh Taz.

Menyentuh mengenai perancangan Larrong selanjutnya, Taz memberitahu beliau telah menulis beberapa lagu baru dan untuk pemulaan, mereka akan merakam kesemua lagu-lagu lama dengan menggunakan khidmat Shaun Harun untuk drum, membuat sedikit susunan muzik dan mengeluarkan lagu-lagu tersebut dalam format CD serta LP pada Mac 2019.

 (Dari kiri) Kombat, San, Fadzil, Taz dan Shaun yang membuat persembahan di Everloud Fest Japan Vol. 2 di Tokyo, Jepun baru-baru ini.
JELAJAH JEPUN: (Dari kiri) Kombat, San, Fadzil, Taz dan Shaun yang membuat persembahan di Everloud Fest Japan Vol. 2 di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

Selepas itu katanya, Larrong akan ke studio rakaman di Bandung Indonesia dengan perancangan membuat rakaman 15 buah lagu baru, di mana lapan lagu kami akan keluarkan untuk album terbaru di bawah label Muzik Box Productions di Malaysia.

“Tujuh buah lagu lagi untuk album berkembar dengan band dari Mexico yang akan dikeluarkan oleh American Line Productions, Mexico. Promosi album tersebut nanti dibuat dengan jelajah di Indonesia, Singapura, Filipina Thailand dan Vietnam bersama band Mexico tersebut.

“Larrong juga telah ditawar untuk jelajah Eropah di 13 tempat pada bulan Oktober tahun depan ... namun kita memilih 10 tempat sahaja,” ujar Taz.

Mengenai mini album ‘Ritual Decapitation’ yang dikeluarkan September lepas, Larrong turut menampilkan Iqa yusuf dari Limbang untuk bermain muzik sape sabagai intro di dalam mini album tersebut.

Promosi mini album ini turut dibuat di Malaysia iaitu di Pulau Pinang pada 6 Oktober, Kuala Lumpur (7 Oktober) dan berakhir di Sibu pada 14 Oktober lalu. Promosi yang dibuat oleh pihak penganjur di Kuala Lumpur dalam TV3 turut menyentuh mengenai jelajah Larrong ke negara Jepun.

Bermula sebagai hobi dengan bermain lagu-lagu cover dari band Metallica, Slayer dan Venom pada akhir tahun 1991 dan secara rasminya menggunakan nama Larrong pada akhir tahun 1993.

Larrong mengeluarkan material pertama mereka iaitu sebuah rehearsal tape pada tahun 1993 bertajuk Curse Of Devastation, yang dirakamkan di sebuah studio jamming milik Persatuan Melanau di Matu.

Seterusnya Larrong berevolusi dengan mengeluarkan promo 1996 (The Eastern Shaman), album mini tahun 2000 (Dakan Perana Tana), album mini tahun 2012 (Nuclear Armageddon) serta beberapa lagu yang dimuatkan di dalam kompilasi tempatan seperti Panggilan Pulau Puaka, Metal To Metals serta Angkatan Metal Malaysia dan satu split album pada tahun 2012 bersama band metal dari Medan, Indonesia.

  • oleh
  • Advertisement