Anda di sini

Kebakaran hutan ancam California

Advertisement
 Kebakaran Camp Fire memusnahkan kawasan rabung dekat Big Bend, California kelmarin. — Gambar AFP
MARAK: Kebakaran Camp Fire memusnahkan kawasan rabung dekat Big Bend, California kelmarin. — Gambar AFP

PARADISE: Bilangan kematian dalam kebakaran paling buruk pernah melanda California meningkat kepada 23 kelmarin selepas penyelamat menjumpai lebih banyak mayat orang yang terkorban dalam kebakaran yang dahsyat itu.

Anggota bomba sedang berusaha untuk memadamkan kebakaran besar di kedua-dua hujung negeri, tetapi harapan adalah tipis untuk membendung kebakaran dalam masa terdekat.

“Pada hari ini, 14 mayat tambahan telah dijumpai, yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 23,” kata Syerif Kory Honea di satu sidang akhbar.

Sepuluh mayat dijumpai di bandar Paradise manakala empat lagi dijumpai dalam kawasan Concow, kedua-duanya di Butte County, kata Honea.

Penyelamat kelihatan mengeluarkan mayat dalam tempoh beberapa jam di Paradise dan meletakkan mayat di dalam sebuah kereta mayat hitam.

Sisa mayat diangkut dengan menggunakan baldi manakala mayat sempurna dibawa dalam beg mayat.

Setakat ini, seramai 19 orang yang maut dalam apa yang disebut oleh pihak berkuasa sebagai “Camp Fire” sudah dilaporkan di Paradise, di mana lebih 6,700 buah bangunan - kebanyakannya perumahan - telah musnah dijilat api hujung musim.

Dari jarak berbatu-batu di sekitar, asap tajam kelihatan di langit sekitar Paradise, dan matahari hampir tidak kelihatan. Di darat, kereta hanya tinggal bangkai besi sahaja, manakala talian elektrik juga dijilat api.

Penduduk tempatan lari daripada bahaya tersebut tetapi polis memberitahu AFP beberapa petani pulang untuk memeriksa lembu mereka.

“Kemusnahan besar yang kita lihat tidak dapat dipercayai dan menyayat hati, dan kita simpati dengan semua orang yang terjejas disebabkan ini,” kata Mark Ghilarducci, pengarah Pejabat Khidmat Kecemasan California.

Gabenor baharu Gavin Newsom mengumumkan keadaan darurat untuk memberi bantuan kepada kawasan paling teruk terjejas di negeri yang cenderung mengalami kebakaran itu.

Kebakaran ‘Camp Fire’ yang merebak dengan cepat di utara itu berlaku awal Khamis lepas.

Ditiup oleh ribut kuat, ia setakat ini membakar 40,500 hektar

dan 20 peratus berjaya dibendung, kata Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (Cal Fire) kelmarin.

Setakat ini, tiga daripada lebih 3,200 anggota bomba yang dikerahkan mengalami kecederaan.

Mereka menganggarkan bahawa mereka memerlukan masa tiga minggu untuk membendung kebakaran sepenuhnya.

Pihak berkuasa elektrik tempatan memberitahu pegawai kerajaan, kejadian bekalan elektrik terputus berlaku dekat tempat di mana kebakaran berlaku, kata akhbar The Sacramento Bee, tetapi punca rasmi masih belum ada bagi kebakaran ‘Camp Fire’.
Trump, yang berada di Perancis untuk acara peringatan Perang Dunia Pertama, mengundang kritikan dalam talian bagi reaksinya yang tidak bersimpati terhadap kemusnahan itu pada awal kelmarin.

“Tiada sebab bagi kebakaran hutan yang besar, membawa padah dan merugikan ini kecuali kerana pengurusan hutan begitu buruk sekali,” tweet Trump.

“Berbilion dolar diberikan setiap tahun, dengan begitu banyak nyawa yang hilang, semua disebabkan oleh kesalahan pengurusan hutan yang serius.

“Perbetulkan sekarang, jika tidak tiada lagi bayaran persekutuan!” ancam beliau.

Di selatan California, lebih banyak kebakaran belantara berlaku, termasuk satu ke utara Los Angeles dan satu lagi di Ventura County dekat Thousand Oaks, di mana veteran Kor Marin menembak mati 12 orang dalam sebuah bar pada Rabu lepas.

Pihak berkuasa berkata kira-kira 200,000 orang berada di bawah perintah evakuasi mandatori, termasuk seluruh bandar Malibu.

Kebakaran ‘Woolsey Fire’ memusnahkan kira-kira 69,000 ekar, sekurang-kurangnya 150 buah rumah dan setakat ini belum lagi dibendung, kata Jabatan Bomba Ventura County, dan menambah perintah evakuasi dikeluarkan bagi kira-kira 88,000 buah rumah dalam daerah tersebut dan Los Angeles County.

“Kami dengar ini akan datang, lalu kami memasang alat perenjis air dan kami menyiram seluruh rumah dengan air,” kata penduduk Malibu, Patrick Henry.

“Kami ada masa yang cukup juga untuk memasukkan anjing ke dalam bonet kereta.”

Malibu merupakan salah satu lokasi paling diidamkan di California bagi bintang-bintang yang mahukan privasi dan kemewahan.

Bintang TV realiti Kim Kardashian West, yang tinggal ke utara pantai Malibu, memberitahu beliau terpaksa meninggalkan rumahnya.

“Saya dengar kebakaran sudah memusnahkan harta kami di kediaman kami di Hidden Hills tetapi sekarang lebih terkawal dan sudah berhenti buat masa sekarang,” katanya dalam Twitter. “Saya hanya berdoa agar ribut memihak kepada kita.”

Pelakon Martin Sheen, yang dilaporkan hilang seketika oleh anaknya yang juga pelakon, Charlie, juga terpaksa berpindah.

“Kami tidak apa, kami berada di Pantai Zuma dan kami mungkin akan tidur di dalam kereta malam ini,” kata Martin Sheen kepada Fox News 11, dan menambah ia adalah kebakaran terburuk pernah dilihatnya selama 48 tahun tinggal di Malibu.

Kebakaran hutan sampai ke Paramount Ranch, memusnahkan set penggambaran Western Town yang digunakan bagi ratusan penerbitan etrmasuk filem koboi sains rekaan terbitan HBO ‘Westworld’, kata pegawai dan rangkaian tersebut.

Pengarah Guillermo del Toro tweet bahawa Bleak House, muzium memorabilia filem seramnya, juga berada di laluan kebakaran.

Di Paradise, kebakaran memusnahkan ratusan buah rumah, sebuah hospital, sebuah stesen minyak, beberapa buah restoran dan banyak kenderaan, kata pegawai.

Perintah evakuasi mandatori dikeluarkan bagi lebih 52,000 orang di kawasan yang indah itu di kaki pergunungan Sierra Nevada.

Jabatan Cuaca Negara kelmarin berkata ribut kuat dan keadaan kering dijangka terus berlaku pada hujung minggu. — AFP

Advertisement