Anda di sini

Jawatankuasa Khas Kabinet Persekutuan diwujud semak MA63

Advertisement
SHAFIE APDAL
SHAFIE APDAL

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal berkata, satu Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah diwujudkan di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju semasa mesyuarat pada 10 Oktober 2018 supaya struktur Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak MA63 itu dilaksanakan melalui tiga peringkat iaitu Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja.

"Jawatkuasa Khas Kabinet (Jawatankuasa Pemandu) dijangka akan mengadakan mesyuarat pertama dalam masa terdekat untuk mengenal pasti skop semakan dan isu-isu berkaitan MA63, dan `time limit' diperuntukkan untuk kajian ini adalah enam bulan sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan serentak Datuk Limus Jury (Upko Kuala Penyu), Datuk Jahid Jahim (PBS-Tamparuli), Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan (Star-Tambunan), Datuk Bolkiah Haji Ismail (Warisan-Pitas) dan Datuk Japlin Akim (Umno-Usukan) pada hari kedua Persidangan DUN Sabah pada Isnin.

Shafie berkata, Jawatankuasa Pemandu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, manakala ahli-ahli terdiri daripada Ketua Menteri Sabah, Ketua Menteri Sarawak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Menteri Kewangan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Menteri Luar Negeri, Menteri Kerja Raya, Menteri Pedagangan Antarabangsa, Menteri Pengangkutan, Ketua Setiausaha Negara, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Peguam Negara dan Profesor Undang-Undang Universiti Malaya.

Katanya, terma rujukan adalah menetapkan hala tuju skop semakan MA63, mengenal pasti dan menyemak isu berhubung pelaksanaan hak-hak dan kuasa autonomi Sabah dan Sarawak berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan IGC.

Meluluskan hasil dapatan konsultasi, memperkukuhkan syor berhubung keperluan terhadap pembaharuan kerangka perundangan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan IGC.

Memperkukuhkan syor penambahbaikan dasar kerajaan sedia ada bagi menyokong perkembangan dan pembangunan ekonomi dan sosial di Sabah dan Sarawak, dan bermesyuarat tiga kali dalam tempoh 6 bulan.

Beliau berkata, Jawatankuasa Teknikal akan dipengerusikan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) dan Peguam Negara.

Ahli-Ahli Jawatankuasa Teknikal terdiri daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbandaraan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Peguam Besar Negeri Sabah, Peguam Besar Negeri Sarawak, Ketua Setiausaha Negara dan Pengerusi Asia Institute of Tasmania, University of Tasmania.

Katanya, tema rujukan jawatankuasa teknikal adalah membentuk dan melantik jawatankuasa berdasarkan isu-isu yang ditentukan.

Menilai hasil kajian penyelidikan yang dijalankan terhadap isu yang berkenaan yang dikemukakan oleh jawatankuasa kerja untuk dibentangkan kepada jawatankuasa pemandu.

Memantau kemajuan perjalanan jawatankuasa kerja yang dibentuk, menyediakan laporan akhir jawatankuasa serta syor kepada jawatankuasa pemandu.

Menilai isu-isu diperolehi daripada hasil dapatan sesi konsultasi untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemandu dan bermesyuarat 6 kali dalam enam bulan.

Beliau berkata, Jawatankuasa Kerja akan dipengerususikan oleh pakar-pakar dalam bidang tertentu mengikut skop isu yang ditentukan oleh Jawatankuasa Teknikal.

Katanya, ahli-ahli jawatankuasa kerja akan ditentukan oleh jawatankuasa kerja sendiri dan wakil-wakil dari Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

Katanya, tema rujukan jawatankuasa kerja adalah menjalankan kajian dan penyelidikan isu-isu yang ditentukan oleh jawatankuasa teknikal secara spesifik.

Mengadakan sesi konsultasi dengan pihak berkepentingan untuk mendapatkan pandangan daripada peringkat akar umbi.

Menyediakan laporan dan syor berdasarkan kajian dan penyelidikan isu-isu spesifik yang dijalankan. Laporan ini akan mengandungi cadangan pembaharuan, rasional dan penjelasan kepada cadangan pembaharuan.

Mengemukakan laporan berdasarkan kepada jadual yang ditetapkan oleh jawatankuasa teknikal dan bermesyuarat dua kali sebulan.

Shafie berkata, salah satu isu utama akan dikemukakan oleh kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan adalah berkenaan Perkara 4 MA63 iaitu susunan senarai wilayah negeri-negeri dalam Malaysia, supaya dikembalikan status kepada susunan asal mengikut peruntukan dalam MA63 sebagai equal partners.

Katanya, sebelum Perlembagaan Persekutuan dipinda pada 27 Ogos 1976, Seksyen 4 Akta Malaysia (No.26 tahun 1963) dan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan perkara yang sama seperti berikut.

Persekutuan hendaklah dikenali dalam Bahasa Melayu dan dalam Bahasa Inggeris dengan nama Malaysia.

Negeri-negeri dalam Persekutuan adalah negeri-negeri Malaya iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Selangor dan Terangganu.

Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak dan Negeri Singapura.

Katanya, dalam pindaan pada tahun 1976, Perkara (2) yang ada sehingga sekarang ini adalah seperti berikut, Negeri-Negeri Persekutuan adalah terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

Shafie berkata, mesyuarat Jawatankuasa Khas Pra Kabinet untuk menyemak MA63 pada 1 November 2018 telah bersetuju supaya Kerajaan Negeri membentangkan cadangan Pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak MA63.

Berkenaan dengan pemberian khas dan penyerahan hasil kepada negeri Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dan kajian semula pemberian khas negeri Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, beliau berkata, perkara itu juga merupakan salah satu isu utama yang dikemukakan oleh kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan agar peruntukan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan dipatuhi sepenuhnya.

"Formula pengiraan adalah berdasarkan formula di dalam bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan dan perkara ini telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

  • oleh
  • Advertisement