Anda di sini

Kerajaan negeri cadang wujud sistem penerbangan domestik sendiri

Advertisement
SHAFIE (tengah) bersalaman ketika tiba di majlis itu sambil ditemani isterinya Datin Seri Shuryani Shuaib (dua kiri).
SHAFIE (tengah) bersalaman ketika tiba di majlis itu sambil ditemani isterinya Datin Seri Shuryani Shuaib (dua kiri).

SEMPORNA: Kerajaan negeri bercadang mewujudkan satu sistem penerbangan domestik pada masa hadapan berikutan syarikat berkaitan yang sedia ada sering berhadapan dengan isu kelewatan dan pembatalan jadual penerbangan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal  berkata, beliau sudah bertemu dengan rakan sekerja Ketua Menteri Sarawak dan Sultan Brunei berkaitan perkara itu.

"Brunei mempunyai banyak kapal terbang yang kita boleh gunakan bersama di dantara Sabah, Sarawak dan Brunei untuk penerbangan domestik.

"Kita bukan sahaja boleh bertukar pelancong tetapi juga boleh mengurangkan kos bagi masyarakat di Sabah untuk terbang ke Tawau, Sandakan atau Kota Kinabalu ke Kuching dan seterusnya," katanya selepas merasmikan pelancaran Buletin Online Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna Bersama Warga Pendidik, di sini pada malam Sabtu.

Beliau berkata, perkara itu boleh direalisasikan sekiranya negeri mempunyai modal insan yang berpengetahuan tinggi dalam bidang berkaitan.

Ketika ditemui, Shafie menjelaskan dalam rancangan memperkenalkan perkhidmatan baharu itu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Air Asia di peringkat awal untuk mencari cara bagaimana bagi meningkatkan sistem berkenaan.

Katanya, Sabah mempunyai sektor pelancongan yang sangat baik berbanding negeri lain di Malaysia dan sangat bergantung kepada sistem penerbangan.

Shafie juga meminta Kementerian Pengangkutan untuk mengkaji semula keputusan Syarikat Penerbangan MASwings yang akan menghentikan operasinya ke Tawau dan Sandakan.

"Saya tahu sektor itu sangat bergantung dengan subsidi tinggi daripada kerajaan, jadi ia adalah satu perkara serius dan perlu dilihat.

"Sektor pelancongan Sabah sangat penting kepada kita di sini dan bergantung tinggi kepada syarikat penerbangan.

"Tidak mungkin pelancong sampai ke Sipadan kalau tidak ada penerbangan dari Beijing ke Kota Kinabalu," katanya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak boleh membiarkan pelancong mengalami kelewatan penerbangan dan terkandas di lapangan terbang.

"Mereka bukan datang untuk melihat lapangan terbang, kapal terbang...sebaliknya datang untuk merasai kekayaan sumber alam seperti makanan laut yang murah dan menikmati keindahan semula jadi serta keunikan masyarakat kita," katanya.

  • oleh
  • Advertisement