Anda di sini

Kemudahan perubatan semua daerah Sabah akan diberikan perhatian

Advertisement
SHAFIE dan isteri bertanyakan khabar kepada seorang pesakit semasa melawat Hospital Semporna berkenaan.
SHAFIE dan isteri bertanyakan khabar kepada seorang pesakit semasa melawat Hospital Semporna berkenaan.

SEMPORNA: Kemudahan perubatan di seluruh daerah Sabah akan diberikan perhatian memandangkan terdapat peralatan yang sedia ada kini sudah ketinggalan zaman.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sebagai contohnya di Semporna bukan sahaja mengalami kekurangan kepakaran dalam perubatan tetapi juga peralatan seperti alat X-Ray tidak didapati selain terdapat kemudahan lain yang berusia hampir 16 tahun lamanya.

"Bilik pembedahan juga tidak mampu dilaksanakan di sini dan pesakit terpaksa dihantar ke Tawau yang mempunyai kemudahan dan kepakaran.

"Ini juga sebab kita wujudkan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat untuk memberikan tumpuan supaya kemudahan kesihatan di kawasan luar bandar agar masyarakat daif, miskin dapat pembelaan serta bantuan daripada kerajaan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Hospital Semporna di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan meminta kementerian di sini untuk menyenaraikan keperluan kemudahan dalam satu pangkalan data di semua daerah dalam negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri akan menyusun atur perkara itu dan menasihatkan kepimpinan atasan, dalam keadaan Malaysia baru perkhidmatan kesihatan harus diwujudkan bukan berdasarkan kepentingan kontraktor atau wakil rakyat tetapi berlandaskan kepentingan rakyat.

"Kita harus bantu rakyat dengan menyediakan kemudahan itu dikawasan-kawasan tertentu.

"Sudah sampai masanya kita membuat perubahan dan 'reform' pendidikan dan kesihatan dan ini perlu dilakukan dengan terbaik.

"Saya yakin kemampuan untuk menyusun atur perkara ini dan meminta pelan perancangan utama dari setiap daerah untuk tujuan ini," katanya.

Sementara itu, Shafie menjelaskan masalah bekalan air yang dihadapi Hospital Tawau dan Semporna akan diatasi.

Katanya, rombakan jabatan air yang telah dilakukan telah dibuktikan dengan hasil pendapatan sebanyak RM66.8 juta dalam tempoh hanya dua bulan sahaja.

"Kerajaan akan memastikan hasil itu akan digunakan bagi memastikan bekalan air di seluruh Sabah ditingkatkan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement