Anda di sini

MR.DIY terima Anugerah Penjenamaan Sedunia 2018

Advertisement
 MR.DIY muncul sebagai pemenang Kategori Peruncit – Penambahbaikan Rumah pada Anugerah Penjenamaan Sedunia.
BERPRESTIJ: MR.DIY muncul sebagai pemenang Kategori Peruncit – Penambahbaikan Rumah pada Anugerah Penjenamaan Sedunia.

LONDON: Sebanyak 270 jenama dari 33 negara yang dinamakan ‘Jenama Terbaik’ menerima Anugerah Penjenamaan Sedunia yang berprestij, satu pengiktirafan jenama global pada satu majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Kensington Palace State Apartments, baru-baru ini

Beijing Tong Ren Tang, BMW, Cartier, Club Med, JinkoSolar, Johnnie Walker, Lego, L’Oréal, Louis Vuitton, Nescafé, Rolex, Samsung, Schwarzkopf dan Yakult telah diumumkan sebagai pemenang global edisi anugerah kali ini.

Tahun ini MR.DIY muncul sebagai pemenang Kategori Peruncit – Penambahbaikan Rumah di bawah peringkat negara bersama Perbankan – Maybank dan Air – Spritzer.

“MR.DIY amat berbesar hati dan bangga menerima anugerah Jenama Terbaik. Kami percaya pengiktirafan ini akan menaikkan lagi reputasi dan keyakinan MR.DIY di seluruh dunia. Selain daripada itu, MR.DIY menyifatkan kejayaan pada hari ini sebagai hasil dedikasi, sumbangan dan usaha gigih pihak pengurusan dan kakitangan barisan depan yang membentuk MR.DIY pada hari ini,” kata Ketua Pemasaran MR.DIY Andy Chin.

Pemenang peringkat negara dinilai secara unik oleh barisan pengadil menerusi tiga aliran iaitu penilaian jenama, penyelidikan pasaran pengguna dan undian umum dalam talian. Tujuh puluh peratus proses permarkahan adalah daripada undi pengguna. Hanya satu pemenang dipilih dalam setiap kategori bagi setiap negara.

“Anugerah ini mengiktiraf pencapaian antara jenama terhebat di seluruh dunia. Kejayaan memenangi anugerah ini adalah satu pencapaian besar memandangkan secara purata hanya terdapat enam pemenang di setiap negara,” kata Pengerusi Forum Penjenamaan Dunia Richard Rowles.

“Lebih 4,500 jenama dari 57 negara telah dicalonkan pada tahun ini, dengan 351 jenama dari 49 negara diisytiharkan sebagai pemenang, 81 jenama dari 16 negara menerima anugerah di New York dan 270 pemenang dari 33 negara menerima anugerah di London.

“Bukan setiap negara menerima anugerah, kerana beberapa negara tidak menerima cukup undi untuk melayakkan mereka menerima anugerah,” kata Ketua Eksekutif Forum Peter Pek.

Anugerah yang kini memasuki tahun kelima dianjurkan oleh Forum Penjenamaan Dunia, sebuah organisasi global tidak mencari untung yang berusaha menaikkan piawaian jenama. Organisasi ini menganjur dan menaja pelbagai program pendidikan. Ia juga menerbitkan berita penjenamaan di laman sesawangnya yang diikuti lebih 23.69 juta pengikut.

Majlis penyampaian anugerah telah diacarakan oleh David Croft dari Sky Sports. Untuk maklumat lanjut, sila ke awards.brandingforum.org.

Advertisement