Anda di sini

Tertipu dua kali pinjaman ‘online’ tidak wujud

SIBU: Tidak serik ditipu selepas dua kali memohon pinjaman wang melalui laman sosial, seorang pekebun sayur kerugian lebih RM5,000.

Mangsa yang berusia 32 tahun, mula tertarik dengan tawaran pinjaman wang atas nama ‘Fengshunfin Loan’ untuk membuat pinjaman berjumlah RM5,000 pada 23 Oktober lalu.

Dia kemudian berurusan dengan seorang lelaki Cina melalui telefon memintanya membuat beberapa pembayaran proses pinjaman.

Setelah bersetuju, mangsa membuat sembilan transaksi pembayaran ke sebuah akaun bank berjumlah RM2,895.

Bagaimanapun, mangsa enggan meneruskan urusan itu apabila diminta membuat pembayaran lagi.

Pada 25 Oktober lalu, mangsa menerima satu pesanan mengenai satu iklan pinjaman wang melalui WhatsApp daripada seorang lelaki Cina.

Sekali lagi mangsa berminat membuat pinjaman berjumlah RM5,000 dan kemudian membuat tiga transaksi pembayaran sebanyak RM2,300 ke sebuah nombor akaun bank.

Setelah membuat pembayaran itu, telefon mangsa disekat oleh suspek yang berjaya memperdayakannya membuat pembayaran bagi proses kelulusan pinjaman online yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahkan laporan berhubung kes tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.