Anda di sini

Terperosok bawah bas

 Keadaan mayat mangsa dan motosikalnya yang terperosok di bawah hadapan bas tersebut.
NGERI: Keadaan mayat mangsa dan motosikalnya yang terperosok di bawah hadapan bas tersebut.

KUCHING: Seorang anggota tentera terbunuh akibat kecederaan parah selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya merempuh sebuah bas di Batu 16 Jalan Puncak Borneo, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata mangsa dikenali sebagai Johari Safri berusia 36 tahun.

Menurutnya, mangsa semasa kejadian dikatakan dalam perjalanan dari arah Batu 10 menuju ke Puncak Borneo iaitu sekitar jam 6.30 pagi.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu bas yang memasuki laluan bertentangan di depan kedai lalu menyebabkan mangsa yang bergerak lurus merempuh bahagian hadapan bas.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa yang mengalami kecederaan parah di seluruh badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans dari Hospital Kota Sentosa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mangsa yang difahamkan tinggal bersama keluarganya di Bandar Baharu Siburan semasa kejadian dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya.

Mayat mangsa yang terperosok di bawah bas tersebut berjaya dialihkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya,” kata Alexson.

Tambahnya siasatan lanjut berhubung kes tersebut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mangsa meninggalkan seorang isteri dan tiga anak.