Anda di sini

Tangani masalah dadah dan judi atas talian

 Fazzrudin bergambar bersama rombongan wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tupong yang melakukan lawatan bagi menyaksikan Persidangan DUN semalam. — Gambar Chimon Upon
ALBUM: Fazzrudin bergambar bersama rombongan wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tupong yang melakukan lawatan bagi menyaksikan Persidangan DUN semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kerajaan Sarawak perlu mengambil pendekatan lebih komprehensif bagi menangani masalah dadah dan judi atas talian di kedai runcit yang semakin berleluasa kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman berkata masalah ini bukan sahaja berlaku di Tupong tetapi juga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain.

Menurut Fazzrudin modus operandi mereka amat mudah sekali gus menyukarkan pihak berkuasa membendung kegiatan tidak sihat itu.

Justeru beliau memohon kerajaan melihat pendekatan yang lebih komprehensif bagi menangani masalah judi atas talian ini.

Selain dua masalah ini, Fazzrudin turut menyentuh mengenai sukan elektronik yang cukup popular di kalangan belia.

Tetapi yang menjadi masalah kepada operator sukan elektronik ini adalah untuk mendaftarkan perniagaan mereka.

“Pendaftaran sukan elektronik adalah terletak di bawah lesen pusat hiburan tetapi lesen pusat hiburan telah dibekukan ketika ini disebabkan sikap tidak bertanggungjawab operator yang menjadikan pusat hiburan mereka sebagai pusat judi.

“Pembekuan ini menyebabkan operator yang serius dalam sukan elektronik menghadapi masalah dalam menjalankan perniagaan mereka.

“Saya mohon kerajaan tempatan untuk memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) atau peraturan yang membolehkan pendaftaran ini tidak dibekukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Media Kompleks DUN di sini semalam, selepas perbahasannya atas usul Belanjawan Sarawak 2019 sempena Persidangan DUN.

Pada sidang media tersebut, Fazzrudin turut menyatakan kekecewaan beliau dengan peruntukan yang amat sedikit oleh kerajaan persekutuan dalam Belanjawan 2019.

Tetapi katanya, berita buruk ini telah ditebus oleh pengumuman Belanjawan Sarawak 2019 oleh Ketua Menteri yang memperuntukkan sejumlah besar untuk Sarawak.

Lebih menyedihkan kerajaan persekutuan telah mengeluarkan peruntukan bagi tujuan pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini dalam belanjawan tahun depan.

“Memang benar tanggungjawab mengukur tanah NCR adalah terletak dalam kuasa kerajaan negeri tetapi sebelum ini kerajaan persekutuan turut membantu kerana tahu betapa dekatnya isu ini di hati rakyat Sarawak.

“Sebab itu kerajaan persekutuan (sebelum ini) menyokong dan membantu kita dalam pengukuran NCR tetapi pada tahun depan peruntukan ini telah dikeluarkan atas alasan ia adalah tanggungjawab kerajaan negeri,” kata Fazzrudin.

Terdahulu dalam bahasnya, Fazzrudin turut menyentuh mengenai projek-projek infrastruktur di kawasannya, antaranya memohon program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan program bekalan air dapat dilaksanakan di  Kampung Gita Laut, Sungai Maong yang telah diluluskan sebagai kampung pembesaran.

Selain itu katanya, program BELB ini juga diperlukan di Kampung Gita, Kampung Paroh dan Kampung Sejijak.