Anda di sini

SPNB sudah bina lebih 100,000 rumah di seluruh negara sejak penubuhan

KUCHING: Bagi sebahagian orang memiliki sebuah rumah terus menjadi impian sepanjang hayat disebabkan isu kemampuan, hakikat yang diakui Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Dato’ Sri Ahmad Azizi Ali.

AHMAD AZIZI
AHMAD AZIZI

SPNB sebuah syarikat milik Minister of Finance (Incorporated) di bawah penyeliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (sejak 3 Ogos 2018) ditubuhkan pada 1997 untuk menyediakan rumah berkualiti dan berpatutan bagi keluarga di Malaysia.

“Di SPNB, kita berusaha untuk menyediakan rumah lebih murah dan berpatutan. Bagaimanapun, meskipun harga adalah faktor penting, namun keselesaan dan kepuasan pembeli rumah masih lagi paling penting. Kita tetap komited untuk membina rumah berpatutan atau mampu milik yang berkualiti baik.

“Pada umumnya, pembangunan kita terdiri daripada pembangunan perumahan dan pembangunan campuran. Kita menawarkan pelbagai jenis produk berdasarkan pelbagai tahap kemampuan dan pilihan seperti Rumah Mesra Rakyat untuk kumpulan berpendapatan rendah dan Rumah Idaman Rakyat untuk kumpulan berpendapatan sederhana. Kita juga mempunyai pelbagai skim menarik untuk kumpulan sasaran seperti pembeli rumah kali pertama,” katanya.

Azizi berkata, sejak penubuhan SPNB 1997, ia sudah membina lebih 100,000 rumah di seluruh negara yang mana 70,000 adalah rumah mampu milik dan lebih 10,000 kini sedang dalam pembinaan.

Menurut Azizi,  SPNB memulakan pembabitannya di Sarawak pada 2004.

“Kita bermula dengan pangsapuri kos sederhana pertama di Kota Samarahan yang dipanggil Vista Ilmu, yang siap 2010. Kita juga berjaya menyiapkan pembangunan pertama di Miri yang terdiri daripada rumah kos sederhana dipanggil Vista Perdana fasa pertama pada hujung tahun tersebut,” katanya.

“Kita baru-baru ini menyiapkan pembangunan Vista Perdana Fasa Dua dan hari ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin akan merasmikan majlis penyerahan kunci rumah kepada pembeli di Naim Southlake Cubhouse di Miri. Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin juga dijangka hadir bagi mewakili Ketua Menteri Sarawak.

“Pembangunan itu merangkumi 789 unit yang terdiri daripada rumah teres setingkat, rumah berkembar setingkat dan rumah berasingan setingkat. Setakat ini, kita sudah membina hampir 5,500 rumah mampu milik untuk rakyat Sarawak,” ujarnya.

“Rekod kita di Sarawak dan Malaysia menjadikan kita agensi persekutuan yang penting dalam usaha menyediakan rumah mampu milik di seluruh negara,” tambahnya.

 Gambar Vista Perdana Fasa 2
SUDAH SIAP: Gambar Vista Perdana Fasa 2

Azizi juga mengiktiraf Kumpulan Syarikat Naim, kontraktor yang dilantik untuk projek perumahan SPNB yang berpatutan di Kuching dan Miri.

“Di SPNB, kita percaya bahawa bersama kita dapat mencapai jauh lebih banyak lagi. Maka itu, kita sentiasa menekankan budaya kerjasama dan berpasukan, nilai-nilai yang sudah wujud selama ini. Kita mengiktiraf kedudukan dan peranan penting yang disumbangkan Naim sebagai kontraktor bertanggungjawab dan terbukti kepada projek kita,” katanya.

Sama ada SPNB akan membina lebih banyak perumahan berpatutan atau mampu milik di Sarawak, Azizi berkata, pelan sedemikan sedang dalam perancangan.

“Kita sesungguhnya bersyukur dan menyokong keazaman Menteri Perumahan untuk menyediakan sebanyak mungkin rumah berpatutan pada harga paling rendah untuk masyarakat. Kami juga ingin mengiktiraf Ketua Menteri Sarawak di atas sokongan kuat kepada perkara ini. Beliau sentiasa menyokong perumahan berpatutan sejak zaman beliau menjadi Menteri Perumahan Sarawak,” jelasnya.

“Pelan sedang diusahakan untuk membina 2,341 unit rumah mampu milik di Miri dan Kuching,” ujarnya lagi.

Dalam usaha untuk mendekati golongan sasaran SPNB, Azizi menjelaskan selain turun padang menerusi jerayawara, SPNB juga mempunyai platform digital untuk menyebar maklumat tentang pembangunan dan prosedur permohonan.

“Pemohon boleh mendaftarkan minat mereka menerusi laman sesawang untuk kesenangan mereka. Umumnya, kita cuba memudahkan lagi dasar dan prosedur untuk difahami dan dilaksanakan,” katanya.

Azizi berkata, rekod SPNB selama lebih 21 tahun dalam membina rumah mampu milik di Malaysia dan pelanggannya adalah kesaksian kepada usaha dan komitmen syarikat ini.

“Pada akhirnya, pelanggan kita menjadi pengukur dari segi menilai prestasi kita. Pelanggan yang gembira bermakna kita sudah memainkan peranan kita dan juga, kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan masyarakat di atas kepercayaan mereka kepada kita selain turut mengalu-alukan kerjasama sebagai rakan dalam agenda perumahan mampu milik di negara kita,” katanya.