Anda di sini

Spice Girls kembali bergabung untuk jelajah UK tahun hadapan

Advertisement
 Gambar fail bertarikh 11 Disember 2012 ini menunjukkan ahli kumpulan Spice Girls (dari kiri) Melanie Brown, Geri Halliwell, Emma Bunton dan Melanie Chisholm tiba untuk tayangan perdana muzikal  Spice Girls ‘Viva Forever’ di London. — Gambar AFP
KEMBALI BERSAMA: Gambar fail bertarikh 11 Disember 2012 ini menunjukkan ahli kumpulan Spice Girls (dari kiri) Melanie Brown, Geri Halliwell, Emma Bunton dan Melanie Chisholm tiba untuk tayangan perdana muzikal Spice Girls ‘Viva Forever’ di London. — Gambar AFP

KUMPULAN gadis tahun 90an yang terlaris Spice Girls berjanji untuk memberikan peminat apa yang mereka benar-benar inginkan apabila mereka mengadakan jelajah ‘reunion’ di UK pada tahun depan.

Kumpulan itu - kecuali bintang pop yang menjadi pereka fesyen Victoria Beckham - mengeluarkan maklumat mengenai jelajah ‘comeback’, yang akan menyaksikan mereka membuat persembahan di Stadium Wembley, venue terbesar di Britain.

Dalam satu video yang dikongsikan dalam akaun Twitter kumpulan itu yang baharu diwujudkan, empat anggota lain mengadakan siaran berita olok-olok untuk mengesahkan khabar angin tentang jelajah tersebut.

Beckham, juga dikenali sebagai Posh Spice, kemudian memaparkan gambar empat anggota tersebut dalam media sosial di sisi satu kenyataan.

“Saya tidak akan menyertai gadis-gadis saya di atas pentas sekali lagi tetapi menyertai kumpulan Spice Girls merupakan bahagian yang begitu penting sekali dalam hidup saya dan saya mendoakan gadis-gadis saya kasih sayang dan keseronokan apabila mereka kembali melakukan jelajah nanti,” dia menulis dalam Instagram.

Pengumuman fenomena pop itu mencetuskan perayaan oleh peminat dalam media sosial, termasuk penyanyi British, Adele, yang berkongsi gambar lama dirinya dari zaman kanak-kanak yang berposing dengan teruja di hadapan poster majalah kumpulan itu yang memenuhi dinding bilik tidurnya.

“Inilah perasaan saya sekarang! Saya bersedia,” tambahnya dalam Instagram.

Akaun Twitter rasmi kumpulan itu, yang menjanjikan “generasi baharu kuasa gadis (girl power)” dibanjiri ‘posting’ daripada peminat yang nostalgik.

“The Spice Girls membuat persembahan di bandar asal saya! Saya terpaksa duduk. Saya tidak dapat bernafas!!” tweet Wes dari Sunderland.

“Saya sudah menyimpan baju Union Jack dan kasut platform saya, jumpa anda di sana,” tambah seorang lagi peminat, Vicky.

Jessica Morgan bergurau dalam Twitter: “Kehidupan saya bergantung kepada kejayaan membeli tiket Spice Girls.”

Jelajah itu akan diadakan di enam buah bandar raya di Britain pada tahun depan, termasuk Manchester pada 1 Jun, ibu negara Scotland, Edinburgh, seminggu kemudian dan berakhir di Wembley pada 15 Jun.

Sebelum pengumuman dibuat, Melanie Brown (juga dikenali sebagai Mel B dan Scary Spice) membiarkan pintu terbuka kepada pembabitan Beckham.

“Hanya empat daripada kami yang disahkan sepenuhnya, tetapi anda tahu, Vic mungkin akan menyertai kami pada satu peringkat,” katanya kepada rangkaian ITV di Britain.

“Dia mempunyai kehidupan yang begitu sibuk sekali dengan semua komitmen kerjanya dan jenama fesyennya dan anak-anaknya, jadi, dia belum dapat memberikan komitmen lagi,” ujar Brown.

Kumpulan itu menjadi masyhur di seluruh dunia pada 1996 sleepas penerbitan lagu single pertama mereka ‘Wannabe’ untuk menyebar mesej mereka tentang kuasa gadis, yang seterusnya menjual 85 juta album di seluruh dunia.

Hanya dua sahaja daripada 11 lagu single mereka yang gagal untuk menduduki tempat nombor satu dalam carta British, manakala tiga lagu single pertama mereka memasuki kelompok lima tempat teratas di Amerika Syarikat.

Kumpulan lima anggota itu berpisah pada 2000 tetapi bersatu semula untuk jelajah dunia pada 2007.

Mereka bersatu sekali lagi untuk membuat persembahan di majlis penutupan Olimpik London 2012 dan turut berkolaborasi kemudian untuk pelancaran muzikal Spice Girls ‘Viva Forever!’.

‘Comeback’ yang dijangkakan pada 2016 dengan tiga anggota kumpulan tidak termakbul.

Tiket untuk jelajah baharu akan dijual Sabtu ini. — AFP

Advertisement