Anda di sini

RM4,159.68 juta dicadang untuk Anggaran Perbekalan Tahun 2019

Advertisement
SHAFIE APDAL
SHAFIE APDAL

KOTA KINABALU: Sebanyak RM4,159.68 juta dicadangkan untuk Anggaran Perbekalan Tahun 2019 bagi melancarkan lagi pengurusan kerajaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, jumlah itu melibatkan peningkatan sebanyak RM55.33 juta atau 1.35 peratus berbanding dengan anggaran asal tahun 2018 sebanyak RM4,104.35 juta.

"Jumlah itu terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Perbelanjaan Emolumen, Perbelanjaan Berulang dan Perbelanjaan Khas.

"Daripada jumlah keseluruhan Anggaran Perbekalan 2019 itu, sejumlah RM742.14 juta disyorkan untuk Emolumen.

"Jumlah ini mencatatkan penurunan sebanyak RM21.53 juta atau 2.82 peratus berbanding dengan anggaran tahun 2018 berjumlah RM763.67 juta.

"Satu daripada sebab utama penurunan ini ialah pengurangan pembayaran gaji ekoran ramai kakitangan dan pegawai Kerajaan Sabah yang telah dan akan bersara. Selain itu, pengambilan pegawai dan kakitangan baharu juga melibatkan pembayaran gaji yang lebih rendah," katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2019, di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.

Beliau berkata, Perbelanjaan Berulang disyorkan sebanyak RM1,371.94 juta untuk tahun 2019. Jumlah itu melibatkan peningkatan sebanyak RM71.09 juta atau 5.46 peratus berbanding anggaran tahun 2018 sebanyak RM1,300.85 juta.

Katanya, Kenaikan Perbelanjaan Berulang itu diperlukan bagi menampung kenaikan kos operasi yang antaranya disebabkan oleh pewujudan sebuah kementerian baharu sepenuhnya iaitu Kementerian Undang-undang dan Hal-Ehwal Anak Negeri serta Pejabat Daerah Kalabakan.

"Perbelanjaan Khas pula telah disyorkan sebanyak RM2,045.60 juta untuk tahun 2019. Jumlah ini meningkat sebanyak RM5.77 juta atau bersamaan 0.28 peratus berbanding anggaran tahun 2018 yang berjumlah RM2,039.83 juta.

"Peningkatan Perbelanjaan Khas tahun 2019 adalah untuk pembelian kenderaan dan perahu, pengurusan loji air di bawah Kontrak Outsource dan pembelian air dan perbelanjaan berkaitan dengan penswastaan air serta caruman kepada

Kumpulan Wang Amanah Pembangunan sebanyak RM800 juta.

"Sebanyak RM380 juta lagi diperuntukkan bagi menambah caruman ke dalam Kumpulan Wang Amanah untuk membolehkan pembayaran balik bon yang akan matang pada hujung tahun 2019," katanya.

  • oleh
  • Advertisement