Anda di sini

Pembukaan kilang proses sarang walet Batu Sapi atasi kekangan industri semasa

 Dr Jaujan (dua kanan) diberikan penerangan mengenai kualiti sarang burung walet oleh Ketua Pegawai Eksekutif AMG Advance Profitable Sdn Bhd Albert Yeoh (kiri) sewaktu melawat pusat pemprosesan sarang burung walet selepas merasmikan kilang memproses sarang burung walet Pre-Celean RAW Meterial AMG Advance Perofitbale Enterprise semalam. — Gambar Bernama
TELITI: Dr Jaujan (dua kanan) diberikan penerangan mengenai kualiti sarang burung walet oleh Ketua Pegawai Eksekutif AMG Advance Profitable Sdn Bhd Albert Yeoh (kiri) sewaktu melawat pusat pemprosesan sarang burung walet selepas merasmikan kilang memproses sarang burung walet Pre-Celean RAW Meterial AMG Advance Perofitbale Enterprise semalam. — Gambar Bernama

SANDAKAN: Pembukaan kilang memproses sarang burung walet di Batu Sapi dekat sini dijangka dapat mengatasi kekangan industri semasa ke arah menerajui pasaran global produk sarang burung walet dalam kalangan pengusaha bumiputera di Sabah.

Kilang berstatus bumiputera itu dibuka dengan kerjasama antara Persatuan Penternak Sarang Burung Walet Sabah dan Syarikat AMG Advance Profitable Enterprise.

Beroperasi sejak Ogos lepas, Kilang Memproses Sarang Burung (Rumah dan Gua) itu terletak di Pusat Perindustrian Majulah, Jalan Batu Sapi.

Majlis perasmian kilang itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Jaujan Sambakong, semalam.

Berucap pada majlis itu, Jaujan meminta supaya platform jaringan hubungan yang diwujudkan menerusi pewujudan kilang itu akan membentuk kerjasama yang mantap serta perkongsian teknologi dan maklumat pemasaran dalam kalangan bumiputera.

Katanya kerjasama pihak syarikat AMG Advance Profitable Advance dan Persatuan Penternak Sarang Burung Walet Sabah berjaya melestarikan industri itu di daerah tersebut dengan status syarikat 100 peratus milik bumiputera.

“Menerusi kepimpinan kerajaan pada hari ini, kita akan berusaha membantu pengusaha dan pengilang memproses sarang burung walet secara positif dan berpragmatik serta inovasi.

“Ini (dapat dilakukan) dengan jaringan sedia ada melalui pemasaran syarikat AMG Advance Profitable Enterprises dan akan diperhalusi demi mencapai matlamat agar Sabah dapat mengeksport sarang burung terus ke China dengan kapasiti kilang yang ada sekarang,” katanya.

Jaujan berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah telah memudah cara dan menyokong kewujudan kilang ini melalui prosedur operasi standard (SOP) yang seiringan dengan keperluan China.

Menurutnya ia meliputi proses membantu pengeluaran kelayakan Sijil Kilang memiliki lesen mengeksport sarang burung ke China melalui prosedur lengkap jabatan itu dengan penganugerahan penandaan sebagai pengeksport, pedagang sarang burung dan pembekal.

Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif AMG Advance Profitable Enterprise Shamsudin Chinu berkata syarikat itu yang beroperasi sejak 10 tahun lepas telah membina 208 rumah burung walet di Sabah.

Katanya pembukaan kilang memproses sarang burung walet itu akan membolehkan syarikat itu maju setapak lagi dalam industri berkenaan untuk mewujudkan nilai tambah pertumbuhan sosioekonomi kepada pengusaha bumiputera.

Menurut Shamsudin, syarikat tersebut juga menjalin kerjasama dengan syarikat pelabur dari Quangxi, China untuk membawa pelabur dari negara itu berkolaboratif bagi membina 3,000 unit rumah burung walet di Sabah. — Bernama