Anda di sini

Kerajaan Perak beri dua insentif kepada ‘Bos Gaurus’

 Pasukan Perak meraikan kejayaan mereka dengan menjulang Piala Malaysia 2018 selepas berjaya mengalahkan pasukan Terengganu pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 di Stadium Shah Alam, 27 Okotober lepas. — Gambar Bernama
KEJAYAAN HEBAT: Pasukan Perak meraikan kejayaan mereka dengan menjulang Piala Malaysia 2018 selepas berjaya mengalahkan pasukan Terengganu pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 di Stadium Shah Alam, 27 Okotober lepas. — Gambar Bernama

IPOH: Kerajaan Perak akan memberi dua insentif berupa wang tunai dan anugerah istimewa kepada pemain skuad ‘The Bos Gaurus’ yang berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2018 pada 27 Oktober lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kejayaan tersebut begitu membanggakan dan sudah pasti barisan pemain gembira dengan insentif yang bakal diberikan, kelak.

“Sebenarnya sebelum perlawanan akhir (Piala Malaysia) itu, saya telah berbisik dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dan pengurus pasukan Datuk Adly Shah Ahmad Tah, kerajaan negeri akan memberi insentif menarik sekiranya mereka berjaya membawa pulang Piala Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Retreat Draf Rancangan Struktur Negeri Perak 2040 (Kajian Semula) di sini semalam.

Ahmad Faizal berkata PAFA turut menerima imbuhan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila berjaya menjulang Piala Malaysia, yang turut akan diberikan sebagai insentif kepada pemain.

“Jadi bagi pihak kerajaan negeri, kita akan tambah imbuhan itu dan jumlahnya saya akan umumkan selepas piala itu dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, nanti,” katanya.

Semalam, selepas menjadi tetamu dalam program  Radio Malaysia PerakFM, Ahmad Faizal berkata Piala Malaysia 2018 yang dimenangi Perak pada perlawanan akhir menentang Terengganu FC itu akan dipersembahkan kepada Sultan Nazrin di Kuala Kangsar, Ahad ini.

Beliau berkata piala itu yang kembali kepada Perak selepas 18 tahun akan dibawa ke Kuala Kangsar, dengan diiringi barisan pemain sempena Larian Hari Keputeraan Sultan Perak ke-62 yang disambut, Jumaat lepas.

Katanya acara berkenaan sudah mendapat perkenan Sultan Nazrin dan semua pemain serta pegawai pasukan akan menerima pingat kebesaran daripada baginda pada 10 November sebagai tanda penghargaan. — Bernama