KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menyambut baik kedatangan 22 peserta Pertandingan Miss Scuba International yang kini berada di Sabah.
Menterinya Datuk Christina Liew berkata, sudah pasti kehadiran semua peserta di negeri ini sekali gus menguji daya pengetahuan dan pemikiran selaku duta, selain menitikberatkan aspek kecantikan semata-mata.
“Saya ingin mengucapkan selamat datang ke Sabah dan sudah pasti anda semua sudah melihat serta menikmati keindahan negeri di bawah bayu.
“Justeru, kita berharap semua peserta dapat memainkan peranan sebagai duta dalam membantu mempromosikan Malaysia, khususnya Sabah setibanya ke negara masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Peserta adalah dari Malaysia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Mexico, Jerman, Poland, Latvia, Belanda, Belize, Australia, New Zealand, Iran, Afrika Selatan, Jepun, China, Taiwan, Hong Kong, Macau, Filipina, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan.
Terdahulu, peserta berlepas dari Lapangan Terbang Tawau ke Mabul Water Bungalow di Pulau Mabul.
Setibanya di sana, mereka dikehendaki menyertai setiap latihan seperti menyelam skuba, menghadiri rundingan pemulihan dan beberapa aktiviti yang berkaitan selama sembilan hari.
Pengasas merangkap Presiden Miss Scuba International Ltd Robert Lo berkata, aktiviti yang dianjurkan bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan marin dalam kalangan peserta.
Katanya, beberapa peserta sudah tiba minggu lalu lagi untuk menjalani latihan menyelam skuba bagi membangkitkan semangat mereka dalam usaha pemuliharaan habitat laut.
“Sementara pada 14 Nov nanti, mereka akan meninggalkan Tawau untuk ke Kota Kinabalu selama dua hari bagi menyertai sesi dandanan dan bertutur sebelum bermula pertandingan peringkat akhir nanti,” katanya.