Anda di sini

Kawasan persisir perlukan agensi pembangunan sendiri

KUCHING: Kawasan persisir seperti Tanjung Batu, Asa Jaya, Sadong Jaya, Simunjan, Sebuyau, Lingga, Beting Maro dan Kabong memerlukan sebuah agensi untuk bertanggungjawab membangunkannya.

Razaili Gapor (PBB-Beting Maro) berkata, kawasan tersebut mempunyai tanah gambut, perairan pantai dan laut yang luas.

“Kawasan ini kaya dengan sumber biodiversiti marin dan hutan nipah yang belum diteroka sepenuhnya.

“Terdapat banyak penempatan dengan jumlah penduduk yang ramai terdiri daripada nelayan dan petani.

“Mereka merupakan pembekal keperluan ikan dan produk agromakanan kepada rakyat negeri ini,” katanya ketika ucapan perbahasan Belanjawan Sarawak 2019 pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Bagaimanapun menurutnya, kawasan tersebut masih jauh ketinggalan dari segi kemudahan infrastruktur asas terutama bekalan air bersih, elektrik, telekomunikasi dan infrastruktur pertanian.

“Justeru, saya memohon kerajaan mempertimbang menubuhkan Agensi Pembangunan Persisir (CADA) sebagaimana penubuhan Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) yang bertanggungjawab merancakkan lagi pembangunan ekonomi.

“Ia juga akan memastikan infrastruktur secara teratur, fokus dan terancang termasuk aktiviti riadah, sumber bio-marin dan bio herba yang akan meransang bio ekonomi yang berpotensi meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar di kawasan pesisir ini seperti DUN Beting Maro,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut memohon kepada kerajaan supaya memperbanyakkan lagi menara telekomunikasi di kawasannya bagi menyediakan kemudahan Internet kepada rakyat.

Razaili turut memohon penyaluran bekalan air bersih ke beberapa tempat di kawasannya seperti Kampung Batang Maro, Rumah Kam dan Rumah Duat.

“Selain itu, saya memohon kerajaan membangunkan pertanian di DUN Beting Maro dengan memodenkan serta dikomersilkan melalui manfaat teknologi,” katanya.

Bagi golongan nelayan di DUN Beting Maro, beliau mahu golongan itu mendapat pembelaan dan perhatian pihak kerajaan.

“Kita tidak mahu golongan nelayan terpinggir di mana kerajaan melalui agensinya seperti Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) disaran melibatkan nelayan dalam bidang ekonomi sampingan seperti akuakultur, pengeluaran produk ikan nilai tinggi dan pertanian serta latihan kemahiran dalam usaha menambah sumber pendapatan mereka terutama pada musim tengkujuh,” tambahnya.