Anda di sini

Hutang tinggi Malaysia dijangka kekal lebih lama daripada jangkaan: Moody’s

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2019 menunjukkan paras hutang Malaysia yang tinggi dijangka berterusan bagi tempoh yang lebih lama daripada dijangkakan memandangkan defisit diunjur kekal di atas paras tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 2020, kata Moody’s Investors Service.

“Mengikut perkiraan Moody’s, hutang kerajaan akan meningkat kepada 51.1 peratus daripada KDNK pada 2019 daripada anggaran 50.6 peratus pada 2018.

“Pada tahap ini, hutang kekal lebih tinggi berbanding unjuran median diberi penarafan A pada 40.9 peratus bagi 2018, menekankan kepada kekangan fiskal sebagai cabaran kredit utama,” kata agensi penarafan antarabangsa itu dalam satu kenyataan semalam.

Moody’s juga berkata, dalam tempoh terdekat ini, kemungkinan sebarang penurunan lagi defisit akan diimbangi perolehan hasil daripada sumber bukan cukai, termasuk dividen tinggi daripada perusahaan milik negara, dan/atau menerus pemotongan perbelanjaan.

Selain itu, dengan penggantian Cukai Barang dan Perkhidmatan kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan, hasil berkaitan petroleum meningkat kepada kira-kira 31 peratus daripada jumlah hasil berbanding kurang 16 peratus pada 2017, menjadikan pendapatan kerajaan mudah terdedah kepada turun naik harga minyak, kata agensi penarafan itu.

“Banyak langkah-langkah, sama ada yang sedang dilaksanakan atau dan yang dirancang, mencerminkan usaha kerajaan untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti akaun awam.

“Bagaimanapun, pendedahan saiz  “jaminan yang kerajaan komited”, jaminan kepada entiti yang memerlukan sokongan kewangan tetap, boleh menambah sehingga 10.5 peratus daripada KDNK kepada hutang kerajaan pada masa depan, memandangkan kemungkinan besar pembayaran hutang entiti ini akan ditanggung oleh kerajaan,” kata Moody’s.

Belanjawan 2019, yang diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 2 Nov, menyasarkan defisit fiskal 3.4 peratus daripada KDNK bagi 2019, turun sedikit berbanding unjuran rasmi terkini 3.7 peratus bagi.

Bagaimanapun, unjuran bagi 2018 adalah di atas sasaran bajet asal pada 2.8 peratus daripada KDNK. — Bernama