Anda di sini

Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2018 sarat dengan pelbagai aktiviti

 Karim (tengah) dan Snowdan (dua kanan) memperagakan logo rasmi Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2018 bersama Dr Ong (kanan) dan Hii (dua kiri).
HARI BELIA: Karim (tengah) dan Snowdan (dua kanan) memperagakan logo rasmi Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2018 bersama Dr Ong (kanan) dan Hii (dua kiri).

KUCHING: Pelbagai program disusun sebagai pengisian sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2018 yang akan diadakan di Stadium Tertutup Sibu.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sambutan kali ini akan diadakan selama tiga hari bermula dari 16 hingga 18 November ini.

“Objektif sambutan ialah untuk mengiktiraf sumbangan para belia dalam agenda pembangunan negeri.

“Belia adalah satu kumpulan yang amat penting dalam pembangunan sesebuah negara dan negeri, kita tidak dapat mengetepikan sumbangan mereka.

“Sebagai kerajaan dan kementerian yang menjaga belia, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kumpulan belia ini dijaga dengan betul agar mereka dapat menjadi warganegara berguna dan mewarisi kepimpinan negeri ini suatu hari kelak,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitul Makmur semalam.

Tambah Karim, program itu juga dapat mendekatkan para belia dengan pucuk pimpinan negeri selain memberi ruang dan peluang kepada mereka mengetengahkan kreativiti dan bakat dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan, kesenian, kesukarelaan, semangat patriotik dan sebagainya.

Menurutnya, pengisian program ialah Belia Showcase, Pertandingan Belia Got Talents, Belia Sihat dan Cergas, Autoshow, Pertandingan Bernopeng, Pertandingan Puteri Belia  dan Youth Strongman 2018, Pertandingan Melukis dan Mewarna Kanak-Kanak, Anugerah Belia Negeri 2018, Youth Townhall, Perkhemahan Belia Millenia, Pameran Belia dan Kerjaya, Belia Kitchen dan Gerai Jualan dan Youth Wall Climbing.

“Program Youth Townhall memberi ruang kepada belia-belia dari universiti, sekolah, persatuan dan agensi berdiskusi dengan YAB Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg).

“Kemuncak sambutan adalah perasmian oleh Ketua Menteri pada Ahad (18 November),” katanya sambil menambah, pihaknya menyasarkan seramai 5,000 belia dari seluruh Sarawak turut serta pada sambutan kali ini.

Katanya, tiga individu akan diangkat pada hari terakhir untuk menerima Anugerah Belia Negeri (Individu - lelaki dan wanita) dan Anugerah Belia Negeri (Persatuan).

Pemenang Anugerah Belia Negeri (Individu) masing-masing akan menerima RM5,000 manakala pemenang dan naib johan Anugerah Belia Negeri (Persatuan) akan menerima RM10,000 dan RM7,000.

Hadir sama Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Hii Chang Kee dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Dr Ong Kong Swee.