Anda di sini

Festival Tari Borneo Edisi Ke-7 dikuasai kumpulan tari Indonesia

 Persembahan tarian oleh Kelab Tarian Adi Mastuli UPM Sedang.
MENGAGUMKAN: Persembahan tarian oleh Kelab Tarian Adi Mastuli UPM Sedang.

FESTIVAL Tari Borneo Edisi Ke-7 2018 yang berlangsung lima hari dari 30 Oktober hingga 3 November diadakan penuh meriah di Dewan Sri Kenyalang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) membabitkan penyertaan 13 kumpulan penari dari universiti serta kolej di Borneo.

Festival itu menyaksikan kumpulan tari Universitas Tanjung Pura (UNTAN) dari Kalimantan Indonesia muncul juara keseluruhan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak Sharkawi Amit mewakili Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Manakala naib juaranya diraih oleh Universitas Lambung Mangkurat (UNLAM)yang menerima hadiah wang tunai RM3,000, piala iringan dan sijil. Diikuti Kolej Sabah International Dynamic Management (SIDMA) menyandang tempat ketiga dengan menerima RM1,000, piala dan sijil.

Festival itu turut menyaksikan UNTAN meraih juara Anugerah Busana dengan Universitas Palangkarya (UPR)dan Universiti Teknologi MARA (UiTM)Sarawak masing-masing meraih naib juara dan tempat ketiga.

 Beberapa kumpulan menyajikan kepelbagaian seni tari dalam saingan Festival Tari Borneo 2018.
MEMBANGGAKAN: Beberapa kumpulan menyajikan kepelbagaian seni tari dalam saingan Festival Tari Borneo 2018.

Anugerah Koreografer juga disandang UNTAN dengan naib juara dan tempat ketiganya masing-masingnya disandang oleh Universitas Lambung Mangkurat (UNLAM) dan Kolej SIDMA Sabah.

Ia menyaksikan dominasi UNTAN dalam festival tari dwitahunan antara universiti-universiti di Borneo.

Festival tari anjuran UPMKB dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak serta Pejabat Residen Bahagian Bintulu itu disertai delegasi tiga negara dari 13 universiti dan institut pengajian tinggi dari Kepulauan Borneo merangkumi Indonesia, Malaysia (Sarawak Sabah) dan Brunei Darussalam.

 Kumpulan tarian UNTAN menyajikan persembahan yang amat menarik dan memukau hadirin selepas dinobatkan sebagai juara Festival Tari Borneo edisi ke-7 2018 di Dewan Sri Kenyalang UPMKB.
TERHEBAT: Kumpulan tarian UNTAN menyajikan persembahan yang amat menarik dan memukau hadirin selepas dinobatkan sebagai juara Festival Tari Borneo edisi ke-7 2018 di Dewan Sri Kenyalang UPMKB.

Kumpulan tari itu adalah dari UPMKB (tuan rumah), UiTM Kota Samarahan Sarawak, UiTM Kota Kinabalu Sabah, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS Kampus Antarabangsa Labuan), Kolej SIDMA Sarawak, Kolej SIDMA Sabah dan Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Universiti-universiti dari Kalimantan Indonesia pula terdiri daripada UNTAN, UNLAM, UPR, Universitas Mulawarman dan Universitas Borneo Tarakan (UBT). Dalam pada itu tuan rumah untuk Festival Tari Borneo pada tahun 2020 adalah UBT di Kalimantan Indonesia.

Festival tari yang berlangsung meriah itu turut disaksi oleh Naib Canselor UPM Profesor Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman, Pengarah Kampus UPMKB Profesor Dr Bujang Kim Huat, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim serta Rektor-Rektor universiti dan kolej, wakil-wakil universiti, universitas dan kolej serta pengurusan dan ketua-ketua jabatan UPMKB.

 Sharkawi (lima kiri) menyampaikan piala pusingan juara Festival Tari Borneo Edisi Ke-7 2018 kepada wakil pengurusan UNTAN sambil disaksikan Dr Aini, Dr Mohd Roslan (empat dan tiga kiri), Dr Bujang, Hussaini (lapan dan tujuh kanan) serta pemenang-pemenang dari universiti, universitas dan kolej lain.
JUARA: Sharkawi (lima kiri) menyampaikan piala pusingan juara Festival Tari Borneo Edisi Ke-7 2018 kepada wakil pengurusan UNTAN sambil disaksikan Dr Aini, Dr Mohd Roslan (empat dan tiga kiri), Dr Bujang, Hussaini (lapan dan tujuh kanan) serta pemenang-pemenang dari universiti, universitas dan kolej lain.

Penutupan festival itu diserikan dengan persembahan Kelab Tarian Adi Mastuli UPM Serdang, Kelab Tandak Remang Tatau Bintulu dan Mukun Cilik Cabik Geronong Miri.