Anda di sini

Camila Cabello menang besar di Anugerah Muzik Eropah MTV

Advertisement
 

PENYANYI Amerika Syarikat (AS) Camila Cabello menyapu Anugerah Muzik Eropah MTV pada Ahad lepas apabila dia memenangi anugerah lagu terbaik dengan lagunya ‘Havana’ selain anugerah bagi artis terbaik dan video terbaik.

“Tahun ini adalah tahun terbaik dalam hidup saya,” kata anak jati Cuba berusia 21 tahun itu di acara tersebut yang diadakan di Bilbao, utara Sepanyol.

Cabello telah membuka acara yang dihoskan oleh penyanyi dan aktres Amerika Hailee Steinfeld dengan dendangan lagunya ‘Havana’ yang dipengaruhi Latin.

Dia baharu sahaja memenangi hadiah berprestij di Anugerah Muzik Video MTV pada Ogos lalu - artis terbaik dan video terbaik - selepas albumnya ‘Camila’ menduduki tempat teratas carta AS pada Januari lalu.

Versi audio ‘Havana’, yang memaparkan penyanyi rap Young Thug, menerima lebih 1.3 bilion hit dalam YouTube.

Bekas anggota kumpulan Fifth Harmony itu juga dinamakan sebagai artis pop terbaik di Anugerah Muzik Eropah MTV pada tahun lepas.

Cabello menerima enam pencalonan, diikuti lima masing-masing untuk penyanyi Ariana Grande dan penyanyi rap Post Malone manakala artis dari Kanada, Drake, dan Dua Lipa dari Britain ada empat.

Dengan dua anugerah - bagi artis hip hop terbaik dan rupa terbaik - penyanyi rap AS Nicki Minaj tetap menyerlah, dan membuat dua penampilan di atas pentas, bersama deejay dari Perancis, David Guetta, dan penyanyi AS Jason Derulo.

Dua Lipa memenangi anugerah bagi artis pop terbaik manakala kumpulan dari AS Panic! at the Disco memenangi anugerah artis alternatif terbaik dan Marshmello memenangi anugerah artis elektro terbaik.

Penyanyi Kanada, Shawn Mendes, yang memenangi tiga hadiah pada 2017, memenangi anugerah artis secara langsung terbaik.

Veteran AS Janet Jackson dinobatkan sebagai ‘ikon global, gelaran yang sebelum ini dianugerahkan kepada U2, Queen, Whitney Houston dan Eminem.

Ketika dia menerima anugerah itu, dia bercakap tentang wanita yang didera dengan menyatakan: “Saya adalah salah seorang daripada wanita-wanita tersebut, wanita yang pernah ditutup mulut baik secara harfiah mahupun emosi, wanita yang pernah didera, wanita yang pernah diugut, wanita yang pernah hidup dalam ketakutan.”

Dia menambah: “Saya berdiri bersama anda. Anda adalah saudari-saudari saya.”

Diadakan buat pertama kali pada tahun 1994, MTV EMA merupakan satu daripada dua anugerah besar yang dianjurkan oleh MTV, dengan Anugerah Muzik Video yang diadakan di AS sejak 1984. — AFP

Advertisement