Anda di sini

Bayaran khas RM500 untuk penjawat awam

Advertisement
SHAFIE APDAL
SHAFIE APDAL

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah juga bersetuju untuk memberi Pembayaran Khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pembayaran khas itu akan dibuat serentak dengan pembayaran gaji bulan Disember 2018.

"Dengan penghargaan ini, kita mengharapkan perkhidmatan awam selaku jentera pentadbiran Kerajaan akan membawa Sabah ke mercu kejayaan yang lebih cemerlang lagi.

"Kerajaan amat menghargai jasa dan sumbangan anggota perkhidmatan awam dalam berbagai bidang yang membantu Kerajaan mentadbir, mengurus dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Selaras dengan pengumuman Kerajaan Persekutuan," katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2019, di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.

Beliau berkata, menyedari betapa pentingnya untuk memenuhi tuntutan rakyat serta komuniti perniagaan dan perdagangan yang menginginkan perkhidmatan yang lebih efisien dan efektif, Kerajaan Sabah juga bermatlamat untuk meningkatkan kecekapan pengurusan dan sistem penyampaian Perkhidmatan Awam Negeri.

Katanya, ia termasuklah juga menekankan penyampaian perkhidmatan yang berintegriti dan mesra pelanggan selaras dengan slogan dan aspirasi Kerajaan.

"Bagi meningkatkan lagi keupayaan, profesionalisme dan kecekapan para penjawat awam, Kerajaan menggalakkan budaya pembelajaran secara berterusan, termasuk menguasai kemahiran-kemahiran baru seiring dengan perkembangan dunia yang begitu dinamik.

"Saya sendiri secara peribadi telah meminta supaya pada tahun hadapan, biasiswa disediakan untuk menghantar para pejawat awam yang layak dan sesuai untuk melanjutkan pelajaran atau mengikut kursus-kursus jangka pendek ke pusat-pusat pengajian berprestij dan berprestasi tinggi di luar negara seperti University of Cambrigde dan University of Oxford di England serta Harvard University, Amerika Syarikat," katanya.

Menurutnya, untuk permulaan, sebanyak RM9.56 juta disediakan khusus untuk tujuan itu di bawah program Latihan Dalam Dan Luar Negeri yang akan diselaraskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri pada tahun hadapan.

-end

  • oleh
  • Advertisement