Anda di sini

Bank Negara kekalkan OPR pada 3.25 peratus

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) di sini, semalam.

Pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif dasar monetari adalah sejajar dengan pendirian dasar yang ditetapkan, kata bank pusat.

“MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi,” kata BNM dalam satu kenyataan semalam.

Mesyuarat MPC itu adalah yang keenam diadakan tahun ini dan ketiga dipengerusikan oleh Gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

BNM berkata, ekonomi dalam negeri terus menghadapi risiko pertumbuhan lebih perlahan berikutan ketegangan perdagangan yang terus meruncing dan kelemahan berpanjangan dalam sektor perlombongan dan pertanian.

“Bagaimanapun, secara keseluruhan, ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan yang stabil pada 2018 dan 2019,” kata bank pusat.

Menurut BNM, inflasi keseluruhan akan mencatatkan kadar purata yang rendah pada 2018.

Sejajar dengan ekonomi serantau, pasaran kewangan domestik terus mengalami aliran keluar portfolio bukan pemastautin akibat perkembangan global.

Bagaimanapun, pasaran kewangan kekal teratur dengan keadaan monetari dan kewangan domestik terus menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Sektor kewangan kekal teguh dengan institusi kewangan beroperasi dengan berlandaskan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh.

“Apa yang penting, asas-asas ekonomi dalam negeri terus mantap dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, kadar pengangguran yang rendah dan lebihan akaun semasa dalam imbangan pembayaran,” kata BNM.

Bank pusat berkata, bagi Malaysia, penunjuk ekonomi terkini menunjukkan pengembangan yang berterusan dalam aktiviti sektor swasta dengan penggunaan swasta akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang kondusif.

“Aktiviti pelaburan dijangka terus mampan didorong oleh pengembangan berterusan kapasiti pengeluaran dalam sektor utama yang didorong oleh permintaan menggalakkan serta usaha untuk meningkatkan automasi.

“Perbelanjaan sektor awam, bagaimanapun, dijangka memberikan kesan terhadap pertumbuhan, sehubungan dengan langkah-langkah kerajaan untuk menyusun semula perbelanjaannya mengikut keutamaan,” kata BNM.

Pengumuman yang dibuat oleh kerajaan baru-baru ini telah menjelaskan dengan lebih terperinci tentang dasar fiskal dan pembangunan ekonomi

Bagi sektor luaran, eksport dijangka memberi dorongan tambahan kepada pertumbuhan, walaupun pada tahap yang lebih rendah, disebabkan oleh momentum pertumbuhan global yang semakin sederhana.

Menjelang 2019, BNM berkata inflasi keseluruhan diunjurkan meningkat disebabkan terutamanya oleh harga minyak global yang dijangka lebih tinggi dan pengapungan harga bahan api dalam negeri.

“Meskipun kesan dasar cukai penggunaan pada inflasi keseluruhan akan menyumbang kepada kenaikan inflasi keseluruhan pada 2019, kesan itu akan luput menjelang akhir tahun tersebut,” kata bank pusat.

Menurut BNM, Inflasi dasar dijangka dapat dibendung dengan ketiadaan tekanan permintaan yang kukuh.

Pada mesyuarat itu, jawatankuasa juga meluluskan jadual 2019, di mana ia akan mengadakan mesyuarat  sebanyak enam kali sepanjang tahun tersebut.

“Mesyuarat akan diadakan selama dua hari dan Pernyataan Dasar Monetari diumumkan pada jam 3.00 petang pada hari kedua mesyuarat MPC,” kata bank pusat.

Mesyuarat pertama tahun depan akan diadakan pada 23 dan 24 Jan, diikuti 4 dan 5 Mac,  6 dan 7 Mei, 8 dan 9 Julai, 11 dan 12 Sept dan 4 dan 5 Nov. — Bernama