Anda di sini

AXIS FC sedia memberi cabaran getir pada aksi Piala Abang Johari

Advertisement
 Pasukan AXIS FC sudah bersedia untuk melayan kunjungan Tanjung Datu Lundu pada perlawanan pembukaan Piala Abang Johari 2018 di Stadium Sarawak, Sabtu ini.
SEDIA MENCABAR: Pasukan AXIS FC sudah bersedia untuk melayan kunjungan Tanjung Datu Lundu pada perlawanan pembukaan Piala Abang Johari 2018 di Stadium Sarawak, Sabtu ini.

KUCHING: Pengurus AXIS FC, Mohd Nidzar Mohd Azami mengingatkan semua pemainnya agar tidak terlalu yakin pada aksi pembuka tirai Piala Abang Johari 2018 menentang Tanjung Datu Lundu di Stadium Sarawak, Petra Jaya di sini Sabtu ini.

Nidzar menjelaskan, adalah sukar menduga kekuatan pasukan yang pertama kalinya menyertai pentas berprestij itu dan percaya apa-apa boleh berlaku pada kejohanan tersebut.

“Justeru, saya mahu semua pemain lebih berhati-hati kerana ini kali pertama kita menentang mereka. Jujurnya, kita tidak mengetahui kekuatan mahupun kelemahan pasukan itu.

“Semua pemain tidak boleh terlalu yakin kerana saya percaya Tanjung Datu Lundu mampu melakarkan kejutan jika kita hilang fokus,” katanya ditemui di sini semalam.

AXIS FC akan turun berbekalkan tonik selepas menjulang kejuaraan K-League 2018 dua minggu lalu.

Menurut Nidzar, pemain-pemainnya cukup bersedia untuk menghadapi perlawanan itu dan ‘atmosfera’ dalam kem pasukannya cukup positif selepas semua pemain tonggak boleh beraksi Sabtu ini.

“Kejayaan menjulang K-League 2018 baru-baru ini memberi tonik kepada persiapan kita dan semua pemain cukup bersemangat dan tidak sabar untuk beraksi.

“Saya harap semua pemain dapat mengekalkan momentum seperti ditunjukkan sepanjang saingan liga,” katanya.

Selain pertemuan di antara AXIS FC dan Tanjung Datu Lundu satu lagi perlawanan turut berlangsung pada hari sama membabitkan perlawanan Enraz FC menentang SSN Sarawak di Padang D, Petra Jaya.

Kedua-dua perlawanan tersebut akan bermula jam 3.30 petang.

Manakala pada 11 November ini, naib juara K-League KSK Satok akan menentang UiTM Sarawak FC di Stadium Sarawak.

Rzurf Excellent pula melayan sebuah lagi pendatang baharu, Belia Lundu di Stadium Mini Lundu.

Kedua-dua perlawanan tersebut itu juga akan bermula jam 3.30 petang.

Advertisement