Anda di sini

STB perkenal logo Tahun Melawat Sarawak 2019 di London

Advertisement
 Sharzede (tengah) melancarkan Kempen Melawat Sarawak bersama Ahli Lembaga Pengarah STB Mohammad Ibrahim Nordin (empat kiri), Pengurus Pemasaran UK dan Eropah Malaysia Airlines Richard De Villa (tiga kanan) dan Rosmarie Wong dari The Ranee Boutique (tiga kiri). Malaysia Airlines menaja tiket pergi balik untuk hadiah utama cabutan bertuah pada malam pelancaran.
JOM KE SARAWAK: Sharzede (tengah) melancarkan Kempen Melawat Sarawak bersama Ahli Lembaga Pengarah STB Mohammad Ibrahim Nordin (empat kiri), Pengurus Pemasaran UK dan Eropah Malaysia Airlines Richard De Villa (tiga kanan) dan Rosmarie Wong dari The Ranee Boutique (tiga kiri). Malaysia Airlines menaja tiket pergi balik untuk hadiah utama cabutan bertuah pada malam pelancaran.

KUCHING: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) memperkenalkan logo Tahun Melawat Sarawak 2019 pada satu acara industri di London, United Kingdom (UK) pada 6 November lalu.

Logo Tahun Melawat Sarawak 2019 itu akan menjadi lambang utama bagi Kempen Melawat Sarawak yang akan bermula secara rasmi pada Januari tahun depan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kempen tersebut dijangka akan menempatkan Sarawak dalam peta pelancongan sebagai salah satu destinasi pelancongan di Asia Tenggara.

“Slogan ‘More to Discover’ menggariskan strategi STB untuk meletakkan negeri ini sebagai platform pelbagai jenis budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan perayaan (CANFF) yang tidak dijumpai di mana-mana tempat lain di dunia.

“Tahun lalu, kita menerima lebih 33,399 pelancong dari Britain berbanding 31,274 pada 2016 iaitu peningkatan 6.79 peratus yang merupakan petunjuk baik untuk menarik minat para pelancong dari pasaran UK,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Sehingga Julai tahun ini katanya, Sarawak menerima ketibaan 19,784 pelancong dari UK dan berharap dapat mencapai pertumbuhan 10 peratus pada tahun ini.

Beliau memberitahu, pakej tujuh hari Kuching bergabung dengan Mulu adalah pakej yang digemari oleh pelancong UK dengan Wilayah Tengah menjadi tarikan yang semakin meningkat.

“Kita akan berusaha untuk meningkatkan kedatangan pelancong dari UK pada masa akan datang sekali gus melanjutkan tempoh penginapan mereka untuk sekurang-kurangnya 10 hari di Sarawak.

“Pelancong Britain boleh menantikan lebih banyak pakej baharu dengan tawaran harga kompetitif yang memberi tumpuan kepada budaya, penggembaraan, alam semula jadi, makanan dan perayaan,” tambahnya.

Sarawak mencatatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM8.59 bilion daripada pelancongan pada 2017 yang mewakili 7.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ketibaan pelancong antarabangsa ke Sarawak mencatatkan seramai 2.6 juta orang tahun lalu.

Beberapa pasaran utama untuk Tahun Melawat Sarawak ialah UK, Jerman, China, Australia dan negra-negara ASEAN.

Negara-negara ASEAN adalah sumber utama pelawat yang menyumbang 48.98 peratus atau 2.38 juta ketibaan pada 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif STB yang baharu dilantik, Sharzede Datu Salleh Askor berkata, “Digital akan menjadi sebahagian besar daripada kempen kita.

“Selain mewujudkan kandungan dalam platform digital untuk mendekati pasaran,  kita juga sedang membangunkan aplikasi mudah alih yang akan memacu proses penemuan untuk semua pengunjung kita.”

Logo baharu STB melambangkan ‘Sarawak’ dengan slogan ‘More to Discover’ bagi mewakili aspirasi kempen.

Advertisement