
BINTULU: Petronas terus menumpukan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam bidang pendidikan, pembangunan komuniti dan alam sekitar termasuk membangun generasi muda berbakat dalam usaha untuk memastikan pembangunan negara terus mampan.
Antara usaha yang dilaksanakan ialah melalui program ‘outreach’ yang telah dirancang sepanjang tahun seperti pembinaan laluan pejalan kaki dan tempat menunggu berbumbung untuk para pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kidurong 2.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) Ir Pau Kiew Huai berkata, usaha pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung itu turut melibatkan kerjasama rakan syarikat Dayang Enterprise Holdings Berhad, Kemudi Harta Sdn Bhd dan Persafe Engineering Sdn Bhd sejak Mac tahun ini.
“Saya difahamkan sebelum ini, keadaan pelajar semasa pergi dan balik dari sekolah sama ada pada masa panas atau hujan, para pelajar tiada tempat untuk berteduh menunggu ibu bapa atau penjaga mengambil mereka balik selepas sesi persekolahan,” ujarnya di majlis perasmian projek terbabit oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datu Sudarsono Osman di SK Kidurong 2 kelmarin.
Justeru katanya, kami berharap dengan pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung itu, persekitaran sekolah akan lebih selamat dan kondunsif untuk para pelajar(973 pelajar) dan guru-guru serta akan memudahkan ibu bapa menghantar dan mengambil anak-anak mereka ke dan dari sekolah terbabit.
Selain itu katanya, sukarelawan kami turut menganjur siri aktiviti pembelajaran yang lebih seronok untuk 140 pelajar bagi membina keyakinan dan semangat pembangunan berpasukan dalam kalangan para pelajar yang mana memperlihat para pelajar aktif menyertainya.
Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-40 MLNG katanya, pihaknya juga telah menanam 120 batang pokok di sekitar sekolah terbabit sebagai sebahagian program yang dirancang pihaknya tahun ini sekali gus untuk memastikan landskap persekitaran yang hijau di Bintulu khususnya di kawasan sekolah.
Dalam pada itu Sudarsono berkata, infrastruktur sekolah yang kondusif dan selamat yang dibina untuk para pelajar akan memberi manfaat kepada para pelajar dalam proses pembelajaran mereka.
Beliau memuji Petronas melalui anak syarikatnya MLNG kerana melaksanakan program seumpamanya serta terlibat banyak dalam program membantu para pelajar dan sekolah di negeri ini terutamanya meningkatkan pembangunan sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan bandar.
Katanya, pihak kementeriannya juga akan terus bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak untuk memastikan sekolah kondunsif dan selamat serta membantu memantapkan guru-guru selaras dengan keperluan semasa dari segi kepimpinan dan pengurusan sekolah.
Beliau menyifatkan usaha Petronas melaksanakan beberapa aktiviti tajaan syarikat itu antaranya Program Sentuhan Petronas untuk membantu para pelajar di negeri ini termasuk projek-projek berkaitan pemuliharaan alam sekitar dan sebagainya sebagai inisiatif yang amat baik dan tepat dalam pembangunan komuniti dan alam sekitar di Sarawak.
Turut hadir di majlis itu Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Fred Entau, Guru Besar Afendi Soon, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nor Rigis, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim serta tetamu-tetamu lainnya.