Anda di sini

MTDC luaskan perkongsian dengan rakan Industri 4.0

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) mengembangkan rangkaian dan sumbernya menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan lima rakan kongsi berkaitan revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Norhalim Yunus berkata lima agensi tersebut adalah tambahan kepada kumpulan lain yang dipanggil Myedtech Community yang MTDC telah memeterainya lebih awal lagi dan akan menjadi rakan kongsi utama syarikat itu ke arah inisiatif Industri 4.0.

“MTDC, dengan bantuan rakan kongsi akan berperanan sebagai sinergi kepada interaksi antara syarikat, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana dan syarikat lebih besar yang mahu mendapatkan penyelesaian Industri 4.0,” katanya kepada pemberita selepas prapelancaran hab Industri 4.0, Centre of 9 Pillars (Co9P), dekat sini, semalam.

Lima rakan kongsi tersebut adalah Malaysian Robotics and Automation Society, Malaysia lnternet-of-Things Association, RESPECT Business and Advanced Technology Solutions Sdn Bhd of Universiti Teknologi Malaysia, Research Triangle Institute dan Human Life Advancement Foundation.

Norhalim berkata Co9P yang dibina berdasarkan konsep berasaskan komuniti sebagai pusat khusus untuk Industri 4.0 dilengkapi makmal pembuatan dan ruang kerja bersama bagi membolehkan PKS mencari jalan penyelesaian Industri 4.0 tempatan untuk proses sedia ada mereka.

Beliau berkata pusat tersebut dilengkapi peralatan yang diperlukan bagi membolehkan pembuktian konsep (PoC) dan prototaip dibangunkan sebagai sebahagian daripada kos penyelesaian yang diimport.

“Pusat tersebut akan menempatkan rakan kongsi Industri 4.0 dan syarikat-syarikat ekosistem yang berkaitan dan memudahcara rangkaian bersama profesional perniagaan, penyelidik, ahli akademik dan pakar industri untuk bekerjasama membangunkan ekosistem Industri 4.0 tempatan.

“Pusat itu juga akan membantu kami mengenal pasti bakat tempatan serta mencipta dan membangunkan usahawan teknologi 4.0,” katanya.

Selain menyediakan penyelesaian, rakan kongsi MTDC juga akan bekerjasama dengan Akademi Latihan Usahawan Teknologi MTDC untuk menggunakan kemudahan di Co9P bagi menyediakan kemahiran dan latihan Industri 4.0 kepada industri dan ahli akademik, katanya. — Bernama

Advertisement