Anda di sini

Eugenius penerima insentif terbesar

Advertisement
MEMBANGGAKAN, atlet memanah Sabah Eugenius (kiri) penerima insentif tertinggi dengan kejayaan merangkul empat emas dan dua perak juga dinobatkan sebagai Olahragawan SUKMA XIX Perak 2018. Bersamanya adalah jurulatihnya, Gabriel.
MEMBANGGAKAN, atlet memanah Sabah Eugenius (kiri) penerima insentif tertinggi dengan kejayaan merangkul empat emas dan dua perak juga dinobatkan sebagai Olahragawan SUKMA XIX Perak 2018. Bersamanya adalah jurulatihnya, Gabriel.

KOTA KINABALU: Ia adalah kejutan berganda-ganda buat atlet memanah Sabah Eugenius Loh Foh Soon pada SUKMA XIX Perak 2018 sehinggalah semasa Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan di Dewan Hakka Likas, Rabu lalu.

Bertanding buat kali kedua di sukan terbesar negara, Eugenius menggegarkan lapang sasar memanah di Perak apabila merangkul empat pingat emas di samping dua pingat perak iaitu pencapaian yang beliau sendiri tidak jangka.

Pemanah berusia 17 tahun dan menuntut di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu itu, menang acara emas 30m, 50m, 70m dan compound lelaki individu.

Catatan 360 mata (mata maksima) yang dilakukannya dalam acara 30m menyamai rekod kebangsaan manakala 342 mata dalam acara 70m dan 349 dalam acara 50m merupakan rekod baharu kejohanan.

Ia sekaligus menobatkan Eugenius selaku Olahragawan SUKMA XIX Perak.

Di SUKMA Sarawak 2016, Eugenius hanya menang pingat perak dalam acara sompund lelaki berpasukan.

"Saya sebenarnya tidak menjangka pencapaian pada SUKMA Perak itu kerana sebelum itu ada pertandingan pra-SUKMA dan markah (peserta lain) sangat tinggi.

"Sebab itu, semasa pertandingan saya hanya fokus dan nikmatinya. Tidak sangka pula boleh menang banyak. Saya juga tidak sangka akan turut dinobatkan sebagai pemenang Olahragawan pada akhir SUKMA.

"Apapun saya bersyukur dan gembira dan mahu berterima kasih kepada semua...kepada MSN Sabah, persatuan (Memanah Sabah), jurulatih, keluarga dan tentu sekali kepada rakan sepasukan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Insentif yang disampaikan Menteri Belia Dan Sukan Sabah, Datuk Frankie Poon.

Eugenius adalah atlet individu yang menerima insentif tertingggi pada majlis itu dengan keseluruhan RM34,750.

"Ini kali pertama saya terima insentif sebanyak ini. Ini juga kejutan buat saya. Terima kasih kepada kerajaan dan KBS Sabah," katanya.

Mengenai insentif itu, Eugenius berkata belum terfikir apa-apa mengenainya dan hanya akan menyimpannya.

"Sekarang ini juga saya fokus kepada pelajaran kerana akan menduduki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) minggu depan.

"Ada juga buat latihan tetapi tidaklah seperti semasa persiapan menghadapi SUKMA," katanya yang telah berjinak-jinak dengan sukan itu sejak berusia 12 tahun.

Beliau berharap akan dapat mengekalkan prestasi dan terus berpeluang mewakili Sabah ke SUKMA akan datang.

"Harap-harap dapat peluang untuk terus wakil Sabah kerana saya mungkin akan lanjutkan pelajaran," katanya.

  • oleh
  • Advertisement