Anda di sini

Bapa kekal dipenjara 40 tahun, 23 sebat

 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan kekal menjalani pemenjaraan selama 40 tahun dan 23 sebat, atas dua kesalahan merogol anak kandungnya yang berusia 12 tahun.

Hakim Datuk Nurchaya Hj Arshad membuat keputusan itu terhadap perayu yang berusia 45 tahun, selepas mengetepikan rayuannya atas hukuman.

Pada 27 Mac, perayu dikenakan penjara 20 tahun dan 10 sebat oleh Mahkamah Sesyen untuk setiap pertuduhan terbabit selepas didapati bersalah.

Penghakiman itu dilakukan setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan diluar munasabah.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad memerintahkan perayu menjalani kedua-dua hukuman berkenaan secara berasingan.

Perayu yang juga disabitkan mengikut Seksyen 337 E Kanun Keseksaan juga dikenakan penjara 13 tahun dan tiga sebat, atas kesalahan melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, perayu merogol mangsa sekitar Disember 2015 dan Februari 2016 di sebuah taman perumahan, Manggatal, di sini.

Jika sabit salah mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan penjara selama tempoh 30 tahun dan tidak kurang sepuluh sebatan.

Ketika Nurchaya menyampaikan keputusannya beliau mengatakan kesalahan yang dilakukan perayu sangat terkutuk, kerana mangsa anak kandungnya sendiri.

Tambahnya walaupun perayu menafikan perbuatan itu, namun bukti menunjukkan sebaliknya.

Beliau mengarahkan hukuman bagi dua kesalahan rogol berjalan berasingan, namun serentak dengan hukuman kesalahan kelucahan melampau.

Timbalan Pendakwaraya Wan Farrah Fairiza Wan Ghazali bertindak untuk pihak pendakwaan, manakala peguam P.J Perira mewakili perayu.