Anda di sini

Mesej padu daripada DUN

Advertisement
 Abdul Karim semasa membentang usul penubuhan Jawatankuasa Perundingan Perjanjian MA63 yang diluluskan sebulat suara oleh DUN, semalam.
BENTANG: Abdul Karim semasa membentang usul penubuhan Jawatankuasa Perundingan Perjanjian MA63 yang diluluskan sebulat suara oleh DUN, semalam.

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam meluluskan usul penubuhan Jawatankuasa Perundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dianggotai Ahli DUN daripada pelbagai parti politik.

Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata, ia keputusan sebulat suara selepas usul berkenaan dibahaskan 31 ADUN.

“Saya dengan ini mengisytiharkan usul menteri atas nama Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan juga ADUN Asajaya diluluskan sebulat suara,” katanya pada persidangan DUN di sini, semalam.

Usul daripada Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan disokong oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol itu dibuat untuk menentukan dan bersetuju dengan perwakilan Sarawak dalam jawatankuasa bagi mengemukakan kepentingan, hak dan kedudukan Sarawak seperti yang termaktub di dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, ia untuk memenuhi jangkaan rakyat Sarawak bagi autonomi lebih besar dan penurunan kuasa kepada negeri.

“Penubuhan jawatankuasa ini mengikut Perintah Tetap 89 bersama Artikel 24 (1) Perlembagaan Negeri dan jawatankuasa diwakili ahli semua parti politik di DUN,” kata Abdul Karim semasa ucapan pembentangan usulnya.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan ekoran daripada Jawatankuasa Pemandu MA63 di peringkat persekutuan yang hanya menyaksikan Sabah dan Sarawak diwakili hanya dua individu.

“Pada 5 September 2018, kabinet persekutuan telah memutuskan penubuhan Jawatankuasa Pemandu (Jawatankuasa MA63) yang dipengerusikan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan terdiri daripada wakil kerajaan persekutuan, Sabah dan Sarawak untuk meneliti pelaksanaan MA63.

“Disebabkan oleh komposisi yang amat berat sebelah dalam Jawatankuasa MA63, Ketua Menteri telah menulis kepada Perdana Menteri untuk meminta agar komposisi itu diteliti semula dengan mengambil kira status pihak-pihak terbabit sebagai rakan-rakan setara ketika Persekutuan Malaysia ditubuhkan.

“Ia telah dicadangkan agar sesuatu yang mirip dengan struktur Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) digunakan sebagai model,” katanya.

Semasa ucapan penggulungan pula, Abdul Karim tersentuh dengan sokongan yang disifatkan bersejarah oleh 31 ADUN yang terlibat dalam perbahasan menyokong usul tersebut.

Beliau tidak menyangka usul itu akan mendapat sokongan padu kerana ADUN lain tidak dimaklumkan sebelum usul dan mereka yang tersenarai sebagai ahli jawatankuasa hanya tahu mereka terlibat setelah usul dikemukakan.

Jawatankuasa Perundingan itu terdiri daripada Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar sebagai pengerusi, Abdul Karim, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang dan Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Abdullah, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Datuk Idris Buang (PBB-Muara Tuang), Datuk Sebastian Ting (SUPP-Piasau), Datuk Henry Harry Jinep (PDP-Tasik Biru), See Chee How (PKR-Batu Lintang) dan Irene Chang (DAP-Bukit Assek).

Sementara itu, Abdullah dalam ucapan sokongannya berkata, penubuhan Jawatankuasa Perundingan itu akan memperkasakan lagi kedudukan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari sebagai wakil Sarawak dalam Jawatankuasa Pemandu di peringkat persekutuan.

“Yang Amat Berhormat Ketua Menteri yang menjadi wakil kita Sarawak dalam Jawatankuasa Pemandu di peringkat persekutuan bukan hanya kerana beliau adalah Ketua Menteri Sarawak.

“Namun, kita mahu kedudukan beliau diperkasakan dan disokong oleh Jawatankuasa Perundingan di peringkat DUN ini, sebagai tanda bahawa kedudukan wakil kita di meja rundingan dengan persekutuan nanti adalah mewakili setiap nada, jiwa dan denyut nadi anak Sarawak,” tegasnya.

Abdullah berkata, Sarawak ikhlas ingin bekerjasama dan menjalin hubungan baik dengan kerajaan pusat.

Advertisement