Anda di sini

Mahkamah Tinggi putuskan Shafie Ketua Menteri Sabah yang sah 

Advertisement
Mohd Shafie melambaikan tangan kepada penyokongnya selepas diumumkan sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini. - Gambar Bernama
Mohd Shafie melambaikan tangan kepada penyokongnya selepas diumumkan sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini. - Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi  di sini hari ini memutuskan bahawa pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie  Apdal sebagai Ketua Menteri baru Sabah adalah mengikut perlembagaan dan oleh itu beliau merupakan ketua menteri negeri yang sah.

Hakim Datuk Yew Jen Kie menegaskan bahawa Musa telah hilang keyakinan majoriti anggota Dewan apabila enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah daripada Barisan Nasional beralih memberi sokongan mereka kepada Mohd Shafie.

Beliau memutuskan bahawa Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin telah menggunakan kuasa beliau mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah untuk  melantik  Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri baharu Sabah setelah mendapati Musa tidak lagi mendapat keyakinan majoriti Adun.

“Sejajar dengan Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah, Musa wajib berundur atau atau mengosongkan jawatan itu apabila beliau hilang penguasaan terhadap majoriti Dewan Undangan  Negeri (DUN).

“Berlandaskan sebab di atas, maka saya menolak saman pemula plaintif (Musa) untuk mencabar pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri, “ kata beliau serta memerintahkan Musa membayar kos berjumlah RM30,000 kepada Mohd Shafie dan Juhar.

Yew membuat keputusan itu setelah mendengar penghujahan daripada peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad dan  S.Vanugopal yang mewakili Musa, Datuk Douglas Lind, yang mewakili Mohd Shafie dan Peguam Besar Negeri Datuk Zaleha Rose Pandin, yang mewakili Juhar pada 24 Okt.

Pada 17 Mei, Musa memfailkan writ saman terhadap Mohd Shafie, tetapi menariknya kembali. Bagaimanapun, pada Jun, beliau memfailkan saman pemula bagi mendapatkan perisytiharan mahkamah,  bahawa, antara lain, beliau adalah Ketua Menteri Sabah yang sah seperti yang dilantik Yang Dipertua Negeri pada 10 Mei.

Saman pemula tidak memerlukan perbicaraan dan peguam daripada kedua-dua pihak hanya memfailkan hujah serta afidavit bagi mengemukakan kes mereka, manakala writ saman memerlukan perbicaraan dengan memanggil saksi untuk memberi keterangan.

Dalam saman pemulanya, Musa menamakan Juhar sebagai defendan pertama dan pengganti beliau, Mohd Shafie sebagai defendan kedua serta memohon perisytiharan  bahawa  pelantikan  Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri pada 12 Mei adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Musa juga memohon perisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah dan periystiharan bahawa tidak terdapat pembatalan atau pemecatan tentang pelantikannya.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa defendan pertama (Juhar) telah bertindak bercanggah dengan perlembagaan apabila melantik Mohd Shafie sebagai anggota Kabinet Negeri dan bahawa semua tindakan serta perkara yang dilakukan Mohd Shafie dan/atau yang dikatakan Kabinet beliau selepas apa yang dikatakan pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri adalah tidak sah, terbatal dan tidak memberi kesan serta membawa kerosakan kepada kedua-dua defendan.

Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10‬ Mei setelah memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-14, tetapi kehilangan majoriti apabila beberapa ADUN daripada partinya  (UMNO) dan parti komponen Barisan Nasional (UPKO) mengubah pendirian untuk memberi sokongan mereka kepada Parti Warisan Sabah pimpinan Mohd Shafie. 

-- Bernama 
 

Advertisement