Anda di sini

Peter Bence Pemain piano terpantas dunia

Advertisement
 Aksi Peter Bence sewaktu persembahan kali pertama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 5 Oktober lalu. Bence adalah pianis virtuoso yang diiktiraf antarabangsa, artis rakaman, komposer, dan pengeluar yang memegang Rekod Dunia Guinness sebagai ‘Pemain Piano Terpantas’. — Gambar Bernama
RANCAK: Aksi Peter Bence sewaktu persembahan kali pertama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 5 Oktober lalu. Bence adalah pianis virtuoso yang diiktiraf antarabangsa, artis rakaman, komposer, dan pengeluar yang memegang Rekod Dunia Guinness sebagai ‘Pemain Piano Terpantas’. — Gambar Bernama

BELIAU pernah dianggap sebagai pemain piano ‘setaraf Usain Bolt’.

Ini kerana pada 2012, Peter Bence dari Hungary berjaya memecahkan rekod Guinness sebagai pemain piano terpantas di dunia dengan kebolehannya menekan 765 kekunci piano dalam seminit.

Namun, pemain piano berusia 27 tahun itu hanya mula menjadi bintang popular YouTube pada 2015 setelah memuat naik gubahan semula lagu-lagu ‘Bad’ dan ‘Smooth Criminal’ nyanyian Michael Jackson.

Video tersebut meraih lebih 10 juta hit hanya dalam masa seminggu selepas dimuat naik.

“Konsepnya ialah untuk mencipta semula jiwa dan tenaga Michael Jackson tanpa sebarang nyanyian dan hanya menggunakan piano,” kata Bence kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif ketika beliau mengunjungi Malaysia pada Oktober lepas.

ORKESTRA SATU ALAT

Lagu-lagu gubahan semula Bence boleh dikatakan menakjubkan. Beliau menggunakan piano seolah-olah ia menyamai beberapa alat muzik berbeza. Pianonya bukan saja diketik, malah diketuk, ditepuk dan dihentak. Ia menghasilkan nada piano yang rancak, berperkusi dan penuh perasaan.

“Saya suka meneroka bunyi berlainan yang boleh dihasilkan oleh sebuah piano. Sebab itulah album saya yang bakal dikeluarkan nanti dinamakan ‘The Awesome Piano’ (Piano yang Menakjubkan).

“Begitu banyak cara piano boleh dimainkan, bukan sekadar dengan mengetik kekunci sahaja. Saya mahu mengehadkan diri saya kepada penggunaan piano sahaja (ketika persembahan) untuk membuktikan ia boleh menghasilkan bunyi seperti sebuah orkestra,” katanya.

Dan, usahanya itu mendapat sambutan hangat.

Gubahan semula Bence termasuk lagu yang dipopularkan antaranya oleh Michael Jackson, Queen, dan Sia berjaya menarik lebih 500 juta hit video di YouTube, Facebook dan Instagram. Laman sosial beliau turut diikuti berjuta-juta peminat.

BAKAT LUAR BIASA

Beliau cuba memainkan piano pada usia dua tahun. Tidak lama selepas itu, keluarganya mula menyedari bakat luar biasa Bence yang menghasilkan gubahan lagu pertamanya seawal usia tujuh tahun.

“Sejak dahulu lagi saya begitu banyak idea, namun saya bagaikan tidak punya cukup masa untuk menterjemahkannya dalam bentuk muzik. Ilham itu datang dengan mudah sekali dan antara perkara yang paling saya minat ialah menggubah lagu,” katanya.

Walaupun dilatih secara klasikal dan meminati Bach, Bence tidak berapa menggemari muzik klasikal. Minatnya lebih kepada yang unik dan ‘di luar kelaziman’.

“Saya dapati, dari kecil lagi, mainan piano saya lebih laju daripada yang sepatutnya. Saya selalu dinasihati agar bermain dengan lebih perlahan, tetapi saya memang tidak dapat berbuat begitu. Bagaikan ada suara dalam kepala saya yang mengarahkan untuk bermain dengan lebih laju. Malah, saya pantas mengingat teknik bagi meningkatkan kelajuan ketika bermain piano,” ceritanya.

Piano adalah alat muzik perkusi. Namun, cara Bence bermain piano membuatkan penulis tertanya-tanya jika beliau pernah meminati sejenis alat muzik perkusi lain suatu ketika dahulu.

Bence mengakui hal itu.

“Asalnya saya bercita-cita menjadi pemain dram. Seorang saudara saya merupakan guru dram dan perkusi. Namun, ketika itu saya sibuk mempelajari piano dan tiada masa untuk fokus pada alat muzik lain. Boleh dikatakan cara mainan piano saya hari ini bagai memuaskan cita-cita yang tidak tercapai itu,” katanya.

Melihatkan cara yang agak ‘fizikal’ semasa memainkan piano, penulis turut tertanya sama ada beliau merasakan apa-apa impak pada jari, tulang dan sendinya.

Bence ketawa mendengar soalan itu.

“Ya, menariknya pada usia ini, sakit itu bukan lagi pada bahagian tangan saya malah pada bahagian leher dan belakang saya. Jadi, saya banyak melakukan senaman, berurut dan terapi manual,” ujarnya.

BINTANG VIDEO

Bence mendapat banyak permintaan untuk menghasilkan versi piano bagi pelbagai lagu popular, namun katanya, bukan semua lagu sesuai digubah ke bentuk instrumental piano.

“Pertama sekali, saya perlu betul-betul menyukai lagu itu. Kalau saya amat menyukainya hingga lagu itu asyik bermain di kepala, saya akan cuba fikirkan cara untuk menterjemahkannya dalam bentuk gubahan piano.

“Gubahan itu harus betul-betul bagus kerana ada lagu yang sedap tetapi langsung tidak sesuai untuk mainan piano kerana tidak cukup bermelodi. Jadi, saya turut mengambil kira kebolehan saya untuk menggubah lagu itu bagi mainan piano,” jelasnya.

Video muzik beliau juga cukup menarik untuk dijadikan bahan bualan. Dalam video gubahan piano beliau bagi lagu Africa nyanyian Toto,0 sebuah kumpulan yang popular pada 1980-an, Bence dilihat menghentak dan mengetuk sisi piano Imperial Bösendorfer.

Piano buatan tangan itu dikatakan bernilai antara AS$256,000 dan AS$560,000. Milik siapakah piano yang diperlakukan sebegitu?

“Bukan saya punya,” katanya sambil tertawa. “Biasanya kami menyewa piano bagi tujuan membuat klip video. Piano yang dipilih adalah berdasarkan jenis lagu dan kesesuaiannya dalam menyampaikan suasana yang kami mahukan untuk video itu.”

Katanya kebanyakan videonya di YouTube dihasilkan hanya dalam satu rakaman. Oleh itu, jika ada walau satu kesalahan, beliau terpaksa mengulangi seluruh proses itu semula.

“Memang banyak kerja. Kadang-kadang kami terpaksa mengulangi sehingga 20-30 kali sehinggalah semuanya betul,” katanya.

Bence, yang mula merakam video gubahannya ketika menuntut di Berklee College of Music, Boston, bertuah kerana kepopularan videonya telah memberinya peluang bertemu penggubah skor filem kegemarannya John Williams dan Hans Zimmer.

KHAS UNTUK PEMINAT DI MALAYSIA

Ketika konsert pertamanya di Malaysia pada 5 Oktober lepas, Bence mempersembahkan lagu-lagu khas gubahan semula beliau yang diminati ramai serta beberapa lagu gubahannya sendiri.

“Lagu-lagu ini dipetik daripada album saya yang bakal keluar dan belum pernah dimainkan atau dikeluarkan di mana-mana tempat lain sebelum ini,” jelasnya.

Beliau juga bakal menghasilkan klip video bagi lagu-lagu barunya dan tidak sabar menantikan ‘reaksi jujur’ penonton di internet.

Ketika ditanya apakah beliau berhasrat untuk memecahkan rekod Guinness yang dicatat beliau sebelum ini, Bence sekadar tersenyum.

“Yang saya lakukan dahulu pun hanya untuk suka-suka sahaja. Rekod Guinness ini untuk menguji had kebolehan manusia dan juga alat. Saya tiada niat untuk mengulanginya semula,” katanya.            

Rekod pemain piano terpantas pada masa ini disandang Domingos-Antonio Gomes dari Portugal, yang berjaya menekan 824 kekunci seminit pada 2017.  Bagaimanapun, semasa satu temu bual bersama media Hong Kong pada 2016, Bence menceritakan beliau berjaya menekan 951 kekunci seminit sekali gus mengatasi rekodnya sendiri pada 2012.

— Bernama

Advertisement