Anda di sini

Lelaki ditahan kerana disyaki merogol anak tiri

Advertisement
Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk membantu siasatan, hari ini.

KUCHING: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki merogol anak perempuan tirinya yang baharu berusia 10 tahun sekitar awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Denis Leong Soon Kuai semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu suspek berusia 33 tahun itu ditangkap di sebuah rumah di Jalan Lapangan Terbang, di sini sekitar jam 9 pagi hari ini.

Menurutnya, laporan dibuat oleh mangsa sendiri yang diiringi ahli keluarganya selepas kejadian tersebut terbongkar apabila mangsa ‘trauma’ untuk pulang ke rumah keluarga.

“Dalam laporan mangsa, dia  mendakwa suspek melakukan perbuatan terkutuk tersebut sekitar tengah malam ketika dia sedang tidur di ruang tamu rumah keluarganya, di sini.

“Insiden itu bagaimanapun hanya terbongkar apabila mangsa menceritakan kepada keluarganya selepas dia enggan untuk pulang ke rumah setelah insiden tersebut,“ katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya juga, mangsa mendakwa kejadian tersebut bukan pertama kali berlaku.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement