Anda di sini

DUN Sarawak sebulat suara sokong penubuhan Jawatankuasa Perundingan MA63

Abdul Karim menyampaikan ucapan penggulungan selepas 31 ahli Dewan membahaskan usul kementeriannya berhubung penubuhan Jawatankuasa Perundingan MA63 di DUN, hari ini.

KUCHING: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk pembangkang sebulat suara menyokong penubuhan Jawatankuasa Perundingan untuk menentukan dan bersetuju dengan perwakilan untuk dikemukakan kepada wakil-wakil Jawatankuasa Pemandu Semak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sokongan adalah maklum balas kepada penubuhan Jawatankuasa Pemandu Semak MA63  pada 5 September yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jawatankuasa tersebut disifatkan sebagai berat sebelah dengan hanya tiga wakil dari Sarawak. 

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengusulkan penubuhan Jawatankuasa Perundingan dalam usul kementerian beliau bawah Perintah Tetap 23 (1) (a) dibaca bersama Perintah Tetap 89 dan Artikel 24 (1) Perlembagaan Negeri. 

Usul disokong Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol.

Abdul Karim tersentuh dengan sokongan yang disifatkan bersejarah oleh 31 ADUN yang terlibat dalam perbahasan menyokong usul tersebut. 

Beliau tidak menyangka usul akan mendapat sokongan padu kerana anggota lain tidak dimaklumkan sebelum usul, dan mereka yang tersenarai sebagai ahli jawatankuasa hanya tahu mereka terlibat setelah usul dikemukakan. 

Terdahulu, ketika membentangkan usul itu, Abdul Karim berkata Jawatankuasa Perundingan tersebut adalah untuk menentukan dan bersetuju dengan perwakilan untuk Jawatankuasa  MA63.

Jawatankuasa adalah untuk melindungi kepentingan, hak dan kedudukan khas Sarawak seperti termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan dan untuk memenuhi jangkaan rakyat Sarawak untuk autonomi dan penurunan kuasa kepada negeri.

Jawatankuasa Perundingan terdiri dari Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar sebagai pengerusi, Abdul Karim, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Kerajaan Negeri - Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Abdullah Saidol, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan,  Datuk Idris Buang (PBB - Muara Tuang), Datuk Sebastian Ting (SUPP - Piasau),  Dato Henry Harry Jinep (PDP - Tasik Biru), See Chee How (PKR - Batu Lintang), dan Irene Chang (DAP - Bukit Assek).