Anda di sini

Belanjawan bersejarah

Advertisement
 Abang Johari disambut sebaik tiba di pekarangan DUN untuk membentangkan Belanjawan Sarawak 2019.
TIBA: Abang Johari disambut sebaik tiba di pekarangan DUN untuk membentangkan Belanjawan Sarawak 2019.

KUCHING: Belanjawan Sarawak 2019 mencatat sejarah apabila membabitkan jumlah dana besar RM11.914 bilion yang cenderung ke arah pembangunan dalam meneruskan agenda memajukan Sarawak dari segenap aspek.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM9.073 bilion bagi perbelanjaan pembangunan manakala RM2.841 bilion bagi perbelanjaan mengurus.

Berdasarkan anggaran pendapatan negeri pada 2019 berjumlah RM10.513 bilion dan cadangan perbelanjaan biasa RM10.391 bilion, Belanjawan Sarawak 2019 dijangka mengalami lebihan RM122 juta.

“Belanjawan lebihan akan membolehkan kerajaan terus meningkatkan rizab kewangan negeri. Ini adalah untuk memastikan kedudukan kewangan kukuh dan stabil dalam jangka panjang,” katanya semasa membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2019) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, semalam.

Tumpuan perbelanjaan pembangunan membabitkan projek penting, berimpak tinggi dan projek rakyat khasnya di kawasan luar bandar serta komitmen melengkapkan pelaksanaan projek yang telah dilaksanakan.

Ia turut termasuk kapasiti pelaksanaan projek dan pengutamaan semula perbelanjaan yang dilaksanakan kerajaan pusat untuk merasionalkan posisi fiskal perbelanjaan tersebut.

Sejumlah RM6.049 bilion daripada bajet disalurkan untuk mempercepatkan pembangunan luar bandar yang merangkumi bajet RM2.350 billion untuk pelaksanaan Projek Tinjauan Mesra (RM1.535 bilion), Projek Transformasi Luar Bandar (RM500 juta), Projek Kecil Luar Bandar (RM243 juta) dan Program Penambaikan Rumah Miskin Sarawak (RM72 juta).

Sejumlah RM1.105 bilion diperuntukkan untuk memperbaiki jaringan perhubungan dan pengangkutan melibatkan pembinaan jalan, jambatan dan jeti seperti pembinaan Jalan Marudi ke Mulu menerusi Long Terawan, menaik taraf Jalan Belaga ke Menjawah, pembinaan Jambatan Long Lama Batang Baram dan Jambatan Marudi.

Kerajaan Sarawak juga akan membina empat  jambatan baharu iaitu Jambatan Muara Lassa Mukah, Batang Rambungan Lundu, Bintulu-Jepak  menyeberangi Kuala Kemena Bintulu dan Jambatan Batang Lupar Samarahan/Betong.

Selain itu, sejumlah RM190 juta diperuntukkan bagi memperluaskan bekalan air bersih yang dirawat di seluruh negeri termasuk luar bandar, RM315 juta untuk memperkuatkan pembangunan pertanian dengan mentransformasikan pertanian sebagai sektor moden, berdaya saing dan mampan serta RM85.3 juta untuk program pembangunan perindustrian melibatkan pembinaan infrastruktur di beberapa estet seperti Taman Perindustrian Demak Laut, Estet Perindustrian Sematan, Estet Perindustrian Sri Aman, Estet Perindustrian Bau dan Estet Perindustrian Rantau Panjang.

Sejumlah RM18.4 juta juga dicadang untuk pelaksanaan program keusahawanan dan projek SME termasuk Samalaju SME Cluster dan Anjung Usahawan di Lawas, Sundar, Trusan dan Gedong.

Dana berjumlah RM141 juta turut dicadangkan untuk pembangunan perumahan termasuk pembiayaan baharu dan pembinaan 1,827 unit rumah bawah Rumah Mampu Milik (RMM) dan Rumah Spektra Permata (RSP).

“Kerajaan turut memperuntuk RM270 juta untuk membangun semula kampung tradisional, RM63.4 juta untuk pelaksanaan pembesaran 25 kampung atau skim kediaman,” jelasnya.

Untuk memantapkan pembangunan modal insan dan perkhidmatan kerajaan, sejumlah RM112 juta akan digunakan untuk melaksanakan pelbagai projek termasuk Pusat Kecemerlangan Teknikal (CENTEXS) di Lundu dan Lawas serta Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) di Mukah.

Sejumlah RM120 juta juga dikhaskan untuk pembinaan dan baik pulih pejabat dan kuarters kerajaan.

  • oleh
  • Advertisement