Anda di sini

RM35j untuk orang ulu

Advertisement
 Temenggung Elizabeth Ding dan lima temenggung masyarakat Orang Ulu yang lain, menyampaikan cenderamata khas kepada Abang Johari sambil disaksikan tetamu kehormat  lain.
UNTUKMU: Temenggung Elizabeth Ding dan lima temenggung masyarakat Orang Ulu yang lain, menyampaikan cenderamata khas kepada Abang Johari sambil disaksikan tetamu kehormat lain.

MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam mengumumkan dana berjumlah RM35 juta untuk pembangunan kebudayaan dan ekonomi masyarakat Orang Ulu di Sarawak.

Daripada jumlah yang diumumkan itu, RM25 juta akan digunakan untuk membangunkan kampung budaya Orang Ulu di sini manakala RM10 juta lagi akan diperuntukkan bagi inisiatif penubuhan dewan perdagangan Orang Ulu.

Perkara itu diumumkan beliau semasa berucap merasmikan penutupan Simposium Budaya Orang Ulu Ke-7 anjuran Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) di Dewan Suarah Miri, semalam.

Katanya, pengumuman untuk membina bangunan untuk pusat kebudayaan atau kampung budaya Orang Ulu itu, bagi melengkapkan tanah yang terletak di Tudan dan sudah diluluskan Kerajaan Sarawak pada tahun lepas.

Manakala dewan perdagangan dan industri Orang Ulu yang diharapkan membantu membangun dan melonjakkan lagi ekonomi masyarakat Orang Ulu, diusulkan FORUM dalam salah satu daripada resolusi yang diserahkan kepada Abang Johari semalam.

“Manakala tema simposium tahun ini ‘Managing Culture in the Digital Era’ amat bertepatan pada masanya kerana ia seiring dengan usaha Sarawak menuju ke arah transformasi yang bertunjangkan teknologi digital,” katanya.

 Sehubungan itu juga beliau berharap agar golongan cerdik pandai Orang Ulu dapat menggunakan FORUM untuk mengangkat standard hidup dan pembangunan masyarakat Orang Ulu.

Beliau yakin hanya orang Sarawak tahu menguruskan pembangunan negeri ini, bukannya orang ‘luar’ yang tidak faham pun mengenai budaya, kehendak pembangunan dan keperluan rakyat negeri ini, termasuk masyarakat Orang Ulu.

“Orang Malaya mana mereka tahu, ‘Long’ pun mereka tidak tahu, macam mana Sarawak nak maju kalau orang yang memimpin kita tidak tahu ‘Long’  (kampung) yang banyak terdapat di Baram,” katanya.

Mengenai belanjawan yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Abang Johari kecewa kerana tiada peruntukan mencukupi bagi memperbaiki 1,000 sekolah daif di negeri ini.

“Sebanyak 1,000 sekolah daif di negeri ini, tetapi semalam tiada malah tiada peruntukan.

“Sebaliknya Sarawak yang nak pinjamkan kepada mereka, mana pernah (dibuat) negeri pinjamkan kepada Pusat.

“Cakap nak tolong, tetapi tidak ada, justeru kita perlu lihat perkara ini.

“Asas kita ialah budaya kita, cara hidup, keperluan dan kehendak rakyat negeri ini.

“Hanya apabila kita sudah mengenal pasti, maka baharulah kita akan dapat bangunkan negeri ini,” katanya.

Menurut Abang Johari, Kerajaan Sarawak tetap berpegang kepada dasar inklusif kepda semua kaum, merangkumkan semua budaya di negeri ini dalam membangunkan Sarawak tanpa meminggirkan mana-mana kaum.

Pada majlis yang sama, Abang Johari turut menerima 12 resolusi hasil daripada pembentangan simposium berkenaan, yang disampaikan sendiri Presiden FORUM Antonio Khati Galis.

Turut hadir Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Bekalan Air merangkap Penasihat FORUM dan simposium Datuk Liwan Lagang; Timbalan Speaker DUN merangkap ADUN Mulu serta penasihat FORUM Datuk Gerawat Gala serta ADUN Telang Usan Dennis Ngau.

  • oleh
  • Advertisement