Anda di sini

‘Cerita Rasa Anis Nabilah Musim Ke-2’ bersama selebriti popular mulai 6 November ini di TV1

Advertisement
ANIS NABILA
ANIS NABILA

BERSAMA-SAMA selebriti kesayangan anda berkongsi penyediaan hidangan masakan dalam dan luar negara menerusi musim terbaharu program ‘Cerita Rasa Anis Nabilah’ yang menemui penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 6 November ini, setiap Isnin dan Selasa, jam 12.30 tengah hari di TV1.

Istimewa sepanjang 13 episod siarannya, program ini membawakan cara-cara penyediaan bukan sahaja daripada masakan tempatan sebaliknya ada juga dari luar negara yang terpilih termasuklah Itali, Afrika, Vietnam, Thailand, Timur Tengah dan rantau Mediterranean.

Sebanyak tiga puluh sembilan resipi akan dikongsikan sepanjang rancangan ini. Hos Anis Nabilah dan seorang selebriti jemputan memasak tiga jenis hidangan dalam setiap episod.

Dalam episod pengenalannya, Chef Anis Nabilah mengundang Chef Nik Michael Imran akan memperkenalkan tiga jenis masakan Utara Pulau Pinang. Hidangan pertama yang disediakan oleh mereka ialah Pasembur (cucur udang), Nasi Jagung dan Kari Ayam Kapitan. Menariknya ada juga  dikongsikan petua bagi penyediaan ketiga-tiga jenis hidangan tersebut.

Seterusnya episod bersama pelakon, penyanyi dan pengacara iaitu Marsha Milan yang akan turun padang menyediakan tiga jenis hidangan Afrika yang mudah untuk dipelajari oleh penonton.

Antara masakan yang disediakan ialah Nasi Lobak Merah, Kari Ikan Afrika dan Ayam Kuku Wa Ukwaju. Nasi Lobak Merah yang amat bekhasiat dikatakan dapat meningkatkan penglihatan manusia.

Selebriti manakah yang akan memperkenalkan masakan masyarakat keturunan India di Malaysia kepada penonton? Selebriti yang dimaksudkan itu adalah Mark Adam seorang penyanyi dan pelakon yang akan menyertai hos, Chef Anis Nabilah memasak tiga jenis hidangan iaitu Roti Canai, Kari Udang dan Gulab Jamun. Teknik-teknik menarik, membuat Roti Canai turut dihuraikan oleh mereka.

Peminat Nabila Razali usah ketinggalan menyaksikan kemunculan penyanyi dan juga pelakon ini menyiapkan hidangan resipi masakan dari Vietnam. Mereka menyediakan masakan yang dikategorikan dalam ‘Appetizer’, ‘Main Course’ dan ‘Dessert’ iaitu ‘Vietnamese Shrimp Spring Roll’, ‘Vietnamese Fish In Caramel Sauce with Heart of Palm’ dan ‘Sweet Banana Soup with Tapioca and Coconut’.

Siapa kata anak bujang tidak turun ke dapur? Pelakon Syafie Naswip turut membuktikan dirinya juga berbakat dalam bidang masakan. Antara menu yang disediakan termasuklah ‘Mediterranean Fig Salad’, ‘Kambing Ala Mediterranean Bersama Kuskus’ dan ‘Greek Style Sponge Cake’.

Saksikan kebolehan Thanuja Ananthan, seorang model, pengacara dan pelakon merupakan ratu Malaysia pada tahun 2009. Mereka menyediakan tiga jenis masakan masyarakat Cina. Antara masakan yang disediakan adalah ‘Ayam Dengan Goji Berry’, ‘Sup Ketam Dengan Jagung’ dan ‘Udang Galah Masam Manis dengan Mantou Goreng’.

Pelakon dan pengacara Fahrin Ahmad juga tidak ketinggalan menyediakan masakan Malaysia yang terdapat di kawasan Pantai Timur seperti ‘Ayam Percik’, ‘Nasi Kerabu dan Sambal Kelapa’ dan ‘Solok Lada dan Sambal Tumis’.

Menarik dikongsikan Chef Anis menggunakan bunga telang untuk mendapatkan warna biru bagi nasi kerabu.

Menyediakan tiga jenis hidangan Arab iaitu ‘Ayam Al Kabsa’, ‘Baba Ganouj’ dan ‘Basbash’ (pencuci mulut), saksikan episod bersama artis undangan pelakon popular Adeline Tsen dalam episod berikutnya.

Diikuti perkongsian tiga jenis masakan tradisional Itali bersama Lan Solo. Antara hidangan yang disediakan oleh mereka adalah ‘Lamb Osso Buco’, ‘Risotto Ala Milanese’ dan ‘Tiramisu Traditional’.

Hidangan lazat masakan Thailand disajikan selebriti Farah Nabilah yang gemar memasak. Antara menu disediakan iaitu ‘Ayam Kari Hijau’, ‘Kek Udang Thailand’ dan ‘Pulut Mangga Thailand’. Penonton boleh mencuba cara memasak ‘Kek Udang Thailand’ yang boleh dibakar di dalam ketuhar ataupun digoreng. Dalam program sama pelakon Nad Zainal menyediakan tiga jenis masakan yang sesuai untuk kanak-kanak. Antara hidangan adalah ‘Macaroni & Keju’, ‘Double Chocolate Brownies’ dan ‘Sliders Daging’.

Dua orang atlet negara turut dijemput berkongsi jenis hidangan yang bukan sahaja lazat sebaliknya juga sihat dan berkhasiat. Mereka adalah Ahmad Amsyar Azman, ahli sukan terjun kebangsaan untuk memasak tiga jenis hidangan iaitu ‘Satay Ayam dan Sos Almond’, ‘Quinoa Briyani’ dan ‘Puding Mangga dan Benih Chia’. ‘Puding Mangga dan Benih Chia’ ialah sejenis pencuci mulut yang sihat.

Begitu juga atlet futsal wanita kebangasaan iaitu Nur Izwani Azman (Niena Azman), memasak tiga jenis masakan negeri Sarawak yang lazat. Antara masakan yang disediakan oleh mereka adalah ‘Gulai Nangka Dengan Udang Harimau’, ‘Umai’ dan ‘Onde-onde’.

‘Umai’ ialah sejenis salad yang sedap dan terkenal di negeri Sarawak.

Manakala ‘Onde-onde’ ialah sejenis pencuci mulut yang dimakan dengan hirisan kelapa.

Advertisement