
KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang menunggu pihak kerajaan untuk memperincikan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion yang diberikan kepada Kementerian Pertahanan dan KDN dalam mempertingkatkan keselamatan dalam negeri serta pertahanan negara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata peruntukan bajet terbabit belum diperincikan dan pihaknya kini menunggu Kementerian Kewangan untuk memberikan maklumat perincian secara khusus.
"Setakat ini saya belum menerima maklumat pembahagian peruntukan samada bagi air atau elekterik dan sebagainya termasuklah peruntukan untuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).
"Bajet hanya diberikan secara sekaligus dalam KDN dan kita berterima kasih untuk peruntukan kepada KDN yang menduduki tempat ketiga paling banyak dalam bajet 2019," katanya.
Bercakap lanjut berkenaan bajet kepada Esscom, beliau berkata pihaknya akan melihat perkara itu dengan lebih lanjut dengan mengambil berat terhadap isu-isu keperluan di sana.
Semasa ditanya berkenaan pendapatnya berkenaan bajet yang disalurkan kepada KDN Azis berkata pihaknya menyambut baik peruntukan yang disalurkan bagaimanapun beliau menyarankan
agar bajet keselamatan perlu ditambah.
"Kita memahami kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan kini bagaimanapun kos keselamatan diharapkan agar ditambah dalam usaha meningkatkan lagi kawalan keselamatan di negara ini.
"Kos penyelenggaraan dan membaik pulih kuarters kerajaan sebanyak RM400 juta juga perlu ditambah berikutan ianya memerlukan kos yang besar dalam memastikan kesejahteraan penjawat awam terutamanya pasukan keselamatan seperti polis dan tentera," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata pihaknya akan melihat maklumat perincian bajet yang diberikan untuk menyelaraskan sebarang peruntukan kepada pasukan keselamatan.
Dalam perkembangan berasingan beliau berkata kerajaan serta pihak keselamatan sentiasa bersiap sedia terhadap sebarang ancaman serta cubaan anasir luar masuk ke dalam negara.
"Kita sering menerima maklumat risikan berkenaan ancaman penjenayah rentas sempadan dan pasukan keselamatan sentiasa bersiap sedia serta menganggap serius terhadap apa juga maklumat yang diterima samada ianya khabar angin atau sebaliknya.
"Usaha ini akan terus ditingkatkan kerana kita tidak mahu insiden penculikan akan berulang seperti sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas Ujian Kemahiran Menembak PDRM bersama TYT Sabah pada Sabtu.