LAHAD DATU: Peruntukan RM150 juta bagi penyeragaman harga barang antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak merupakan langkah positif ke arah mengurangkan kos sara hidup rakyat di Sabah.
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) Datuk A Nagaraju berkata sebelum ini pemerintahan lama melaksanakan dasar kabotaj di Sabah, namun masih gagal membantu menurunkan harga barang.
Beliau berkata Sabah dan Sarawak merupakan wilayah terkaya di Malaysia dari segi sumber asli seperti Petroleum dan Gas, namun penduduknya terpaksa mengeluarkan belanja tinggi untuk membeli keperluan asas.
“Saya mengalu-alukan peruntukan yang dicadangkan supaya menjadi kenyataan, terutama untuk penyeragaman barang keperluan seperti minyak masak bertapis (1kilogram), beras hancur (pek 10kg) petrol RON95, diesel dan tong gas (LPG),” katanya kepada Bernama.
Kelmarin, Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang membentangkan Belanjawan 2019 berkata kerajaan akan memperuntukkan RM150 juta khusus Sabah dan Sarawak bagi menstabilkan bekalan dan menyeragam harga barangan keperluan asas iaitu tepung gandum, gula bertapis dan minyak masak dalam peket 1kg, serta beras tempatan 15 peratus hancur pek 10kg, Petrol RON95, diesel dan LPG.
Sementara itu seorang pengguna yang ditemui di sini Kasma Watih, 40, berkata beliau harap usaha penyeragaman harga barangan asas dalam Belanjawan 2019 itu dapat disegerakan, selari dengan saranan kerajaan yang meminta rakyat menggunakan aplikasi ‘Price Catcher’ untuk membuat pemantauan dan aduan kepada pihak berkuasa.
“Seragamkan harga barang segera dan kita pantau guna Price Catcher kerana ini memudahkan pengguna untuk mengetahui nilai item barang harian dan sekiranya peniaga didapati menaikkan harga barang, kita boleh terus lapor,” katanya lagi. — Bernama