
SANDAKAN: Kerajaan negeri Sabah akan memberi perhatian terhadap pembangunan belia di negeri ini menerusi peruntukan geran RM100 juta setahun, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Haji Jaujan Haji Sambakong.
Beliau berkata, peruntukan itu boleh digunakan untuk kegunaan dalam program pembangunan usahawan golongan belia.
Jaujan berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Sabah merasmikan Sambutan Hari Belia Negeri Sabah di Dataran Tasik Kompleks Sukan Sandakan, pagi Sabtu.
Ini kerana katanya, beliau tidak mahu belia di Sabah terkandas malah terikut-ikut aktiviti tidak memberi manfaat, sebaliknya golongan tersebut perlu terlibat dalam hal yang berfaedah untuk diri, keluarga dan negara.
"Kerajaan Negeri amat mengambil berat tentang belia kerana mereka adalah aset negara yang akan menjadi pemimpin dan pengurus masa hadapan," katanya
Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata pemberian geran RM 100 juta ini adalah salah satu manifesto Parti Warisan.
“Kita berjanji sekiranya Parti Warisan membentuk kerajaan negeri, kita akan tunaikan janji untuk memberi geran itu kepada belia yang menceburi bidang keusahawan. Kita bantu mereka secara individu yang berkelayakan dan berpotensi.
“Kita juga akan fikirkan untuk memberi geran kepada pihak persatuan belia yang terlibat dalam perniagaan. Kita mungkin akan beri dalam bentuk konsortium, kita akan bagi,” jelasnya.
Beliau berkata pemberian geran itu akan dimulakan tahun hadapan yang akan dilancarkan oleh Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Haji Apdal.
“Kita tahu ramai golongan belia kita masih tidak mempunyai pekerjaan, oleh itu kita galakkan mereka untuk menceburi bidang perniagaan.
Jaujan berkata kita juga akan melihat apa bidang yang mereka ceburi untuk pemberian jumlah geran yang bakal mereka terima.
“Geran ini kita sediakan secara percuma dalam usaha kita mengurangkan pengangguran dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Sabah,” katanya.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Poon Ming Fung @ Frankie, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Arunarnsin Taib, Pembantu Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Arifin Asgali,
Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Datuk Peter Hii Chang Lik dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Datuk Haji Awang Damit Haji Awang Anak.