Anda di sini

Proses pemilihan PKR di Sabah bermula di 25 cabang selama 2 hari

Advertisement
 Anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Batu Sapi mendaftar untuk mengundi pada pemilihan Cabang Batu Sapi di Dewan PPR Batu Sapi semalam. — Gambar Bernama
PROSES PEMILIHAN: Anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Batu Sapi mendaftar untuk mengundi pada pemilihan Cabang Batu Sapi di Dewan PPR Batu Sapi semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Kira-kira 150,000 anggota PKR di Sabah akan membuat undian pada pemilihan parti itu di 25 cabang di seluruh negeri selama dua hari, mulai semalam.

Proses pemilihan parti itu dimulakan di 12 cabang semalam membabitkan Kota Kinabalu; Sepanggar; Tuaran; Kota Marudu; Sandakan; Libaran; Batu Sapi; Tawau; Kalabakan; Keningau; Sipitang; Beaufort.

Proses pemilihan PKR akan diteruskan hari ini di 13 cabang iaitu Putatan; Penampang; Kimanis; Papar; Tenom; Pensiangan; Kudat; Kota Belud; Ranau; Beluran; Kinabatangan; Silam; dan Semporna.

Di KOTA KINABALU, suasana pusat pemilihan PKR cabang itu yang berlangsung semalam berjalan lancar tanpa berlaku provokasi atau masalah teknikal yang mencetuskan kekecohan dalam kalangan anggota parti.

Anggota PKR sudah mulai memenuhi perkarangan pusat pemilihan parti di Sekolah Menengah Kian Kok, Likas, dekat sini, seawal jam 7 pagi semalam dan proses pemilihan dijangka selesai jam 4 petang.

Pengerusi PKR Datuk Christina Liew yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut menzahirkan rasa puas hati dengan proses pemilihan parti bagi cabang Kota Kinabalu.

Beliau yang tiba di pusat pemilihan parti kira-kira jam 8 pagi turut membuat pengundian menerusi sistem e-undi sebelum meluangkan masa meninjau suasana sekitar pusat pemilihan parti berkenaan.

“Semua berlangsung dengan aman dan tiada isu pergaduhan dengan siapa-siapa. Proses pemilihan juga berjalan lancar dan saya berpuas hati,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemilihan itu.

Liew yang turut bertanding mempertahan jawatan Ketua Cabang Kota Kinabalu berkata ini adalah kali pertama beliau melihat kehadiran ramai anggota PKR cabang itu keluar mengundi untuk pemilihan parti pada kali ini.

“Saya sudah 20 tahun dalam PKR dan ini adalah pertama kali begitu ramai (anggota parti) keluar mengundi dan ini petanda bagus bahawa demokrasi itu ada (dalam proses pemilihan parti).

“(Cabang Kota Kinabalu) ada lebih 6,000 anggota dan saya berharap 30 hingga 40 peratus daripada jumlah itu akan keluar mengundi,” katanya.

Mengulas sistem e-undi, Liew berkata, sistem itu perlu diteruskan pada pemilihan parti akan datang kerana beliau melihat kaedah tersebut mampu melancarkan dan menjimatkan masa proses pengundian.

Bagaimanapun, Liew tidak menafikan ada dalam kalangan anggota parti terutama warga emas menghadapi kesulitan menggunakan sistem itu, namun, dengan kehadiran pengawas di pusat pemilihan akan dapat membantu mereka memahami sistem pengundian secara dalam talian berkenaan.

Sementara itu, Liew turut mengiringi Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang meluangkan masa meninjau sekitar proses pemilihan parti bagi Cabang Kota Kinabalu.

Di SEPANGGAR, proses pemilihan parti bagi cabang itu turut berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini walaupun terdapat sedikit masalah disebabkan pintu masuk dewan pusat mengundi sesak serta anggota terpaksa beratur panjang sebelum tiba giliran mengundi.

Bagaimanapun, masalah itu tidak menjejaskan proses pengundian yang berlangsung di Dewan Masyarakat Menggatal bermula 8.20 pagi dan dijangka selesai pada 3.20 petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Cabang Sepanggar Arifah Diyanah Saipu Anuar berkata seramai 7, 700 anggota layak mengundi di cabang berkenaan. — Bernama

Advertisement