Anda di sini

Peruntukan besar perlu atasi isu sekolah daif di Sarawak

Advertisement
MANYIN
MANYIN
DR ANNUAR
DR ANNUAR

KUCHING: Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya RM3 bilion untuk membina semula dan menaik taraf sekolah daif di negeri.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, Sarawak masih ada 904 sekolah daif untuk dibina semula atau dinaik taraf.

“Kerajaan persekutuan hanya memperuntukkan RM100 juta untuk sekolah daif di seluruh negara di bawah Belanjawan 2019.

“Daripada jumlah tersebut berapa banyak yang kita akan dapat? Mungkin RM10 juta atau mungkin juga RM5 juta.

“Sedangkan kita menganggarkan RM3 bilion untuk 904 sekolah daif yang perlu dibina semula atau dinaik taraf,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, semalam.

Ditanya apa langkah Sarawak selepas ini, Manyin berkata, memandangkan Sarawak bukan dalam kerajaan persekutuan, maka Sarawak mungkin menggunakan dana sendiri.

Tetapi katanya, ia tidak begitu adil kepada Sarawak kerana kita semua membayar cukai kepada negara.

“Kita membayar 15 peratus cukai dan apa yang kita dapat hanya 1.4 peratus sahaja,” ujarnya menambah sudah masanya untuk rakyat Sarawak berjuang.

Sementara itu, bercakap di Sibu, Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee berkata, Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan lebih besar daripada kerajaan persekutuan bagi mengatasi masalah sekolah daif di Sarawak.

Dr Annuar berkata, ini berikutan Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng kelmarin hanya memperuntukkan RM100 juta bagi pembinaan semula sekolah daif di seluruh negara.

“Belanjawan semalam (Jumaat) tidak sedikit sebanyak pun memfokuskan masalah ini (sekolah daif), ia hanya memperuntukkan RM100 juta untuk seluruh negara.

“Jadi, saya tidak dapat mengetahui berapa banyak daripada RM100 juta itu akan disalurkan kepada Sarawak pada tahun hadapan,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sibu 2018, pagi semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Annuar berkata terdapat 1,020 sekolah daif di Sarawak dan 415 adalah dalam keadaan kritikal.

Beliau berkata, peruntukan besar diperlukan untuk menyelesaikan masalah sekolah daif di Sarawak.

Oleh itu katanya, pada 2017 kerajaan terdahulu telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk menangani masalah berkenaan yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2018.

Daripada jumlah itu, RM500 juta adalah untuk 2018 dan RM500 juta lagi akan disalurkan pada 2019.

Ditanya mengenai baki RM500 juta itu, Dr Annuar berkata: “Kalau lihat daripada apa yang dimaklumkan semalam (Jumaat) bahawa RM100 juta itu adalah untuk seluruh negara, bukan untuk Sarawak...jadi tidak ada menyebut mengenai RM500 juta yang diluluskan pada 2017 untuk Bajet 2018.”

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memperuntukkan belanjawan untuk mempercepatkan usaha menyelesaikan masalah sekolah daif di Sarawak.

“Tapi kita tunggulah belanjawan Isnin ini, apa yang akan diumumkan oleh Ketua Menteri untuk membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement