Anda di sini

Pencarian Dewi Remaja kembali untuk edisi terbaharu

Advertisement
 Dua belas finalis yang akan berentap merebut gelaran Dewi Remaja menerusi program ‘Dewi Remaja 2018/2019’ yang akan ditayangkan secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) mulai 25 November 2018, setiap hari Ahad, jam 10.30 malam.
FINALIS: Dua belas finalis yang akan berentap merebut gelaran Dewi Remaja menerusi program ‘Dewi Remaja 2018/2019’ yang akan ditayangkan secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) mulai 25 November 2018, setiap hari Ahad, jam 10.30 malam.

LEBIH tiga tahun telah berlalu sejak gelaran Dewi Remaja disandang oleh pelakon dan selebriti tempatan, Farza Naquraisha Rizrose, 22 atau lebih dikenali sebagai Raysha Rizrose.

Kini, ‘Pencarian Dewi Remaja’ yang konsisten mencungkil nama-nama besar dalam industri seni kembali mencari personaliti terbaik dari seluruh Malaysia.

Hadir dengan tema ‘Pesonakan Bintangmu’, Dewi Remaja bukan saja mencari sekumpulan gadis remaja yang memiliki pakej rupa paras dan fizikal yang positif. Ia juga menjadi platform untuk mengangkat bakat, versatiliti dan personaliti menarik sekaligus meneruskan legasi yang dijayakan oleh peserta Dewi Remaja terdahulu.

Mengulas lanjut mengenai kolaborasi di antara pihak Astro dan Karangkraf menerusi Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. untuk penganjuran Dewi Remaja edisi terbaharu, Emarina Mohd Kamal selaku pengurus saluran Astro Ria amat berbesar hati untuk meneruskan kerjasama strategik yang sudahpun memasuki edisi ketiga sejak Pencarian Dewi Remaja 2009/2010.

“Menyingkap sejarah penganjuran Dewi Remaja edisi pertama lebih tiga dekad yang lalu, jenama dan legasi Dewi Remaja terbukti telah membawa impak dan sumbangan yang besar kepada industri hiburan kerana berjaya melahirkan ramai nama-nama besar menerusi pertandingan ini.

“Sehingga kini, pengaruhnya terus kukuh sebagai platform berprestij untuk mengenal pasti bakat-bakat besar dengan pakej komersial yang lengkap.

“Selaku penganjur bersama, usaha sebegini perlu diberi kredit dan sokongan yang sewajarnya kerana ia memainkan peranan penting untuk melahirkan lebih ramai pelapis kepada selebriti serba boleh yang sedia ada. Semoga pencarian edisi ini mampu meneruskan legasi penganjuran tahun-tahun terdahulu,” kata beliau.

Tema ‘Pesonakan Bintangmu’ juga bertepatan dengan ulang tahun edisi ke-10 pencarian ini sejak ia bermula pada tahun 1985.

Menurut Farah Hussamuddin selaku Penerbit Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., mereka melihat kehadiran para peserta kali ini sebagai antara yang terbaik dan paling inklusif yang pernah dipilih oleh panel juri sepanjang penganjurannya.

“Jika dahulu, Pencarian Dewi Remaja hanyalah terhad sebagai program yang dijayakan di kalangan pengkarya di Kumpulan Media Karangkraf sahaja. Tetapi dengan adanya kolaborasi strategik bersama Astro melalui Nu Ideaktiv, kami sebagai penganjur bersama mampu membawa potensinya ke aras yang lebih tinggi dan bervariasi. Dewi Remaja kini dapat menembusi platform media di pihak Astro.

“Sekaligus, ia memberikan langkauan jauh kepada penjenamaan Dewi Remaja serta kepada para pesertanya yang baru ingin menapak di dalam industri seni,” katanya.

Anggaran jumlah hampir 500 calon peserta telah hadir ke sesi uji bakat terbuka yang bertempat di Kuala Lumpur untuk mencuba nasib sepanjang tempoh empat hari ia dijalankan baru-baru ini.

Seramai 20 orang calon peserta Dewi Remaja telah terpilih untuk saringan akhir seperti yang telah diumumkan.

Walau bagaimanapun, hanya 12 orang sahaja yang akan memenuhi slot selaku finalis.

Pakej komersial lengkap yang merangkumi latar belakang menarik, persona dan potensi yang mereka miliki bakal menjadikan penganjuran kali ini sebagai antara edisi paling menarik untuk diikuti.

Dua belas finalis ‘Pencarian Dewi Remaja 2018/2019’ yang berjaya diserap masuk adalah Haneesya Hanee (18, Kuala Lumpur), Tia Shah (18, Selangor), Anna Jobling (18, Kuala Lumpur), Ary (19, Selangor), Rania (19, Kuala Lumpur), Lydia (20, Sabah), Aween (20, Kelantan) Rasya (22, Selangor), Zeera (22, Selangor), Sherin (23, Selangor), Ernisha (23, Selangor) dan Faz (20, Johor).

Melalui paparan 8 episod, program Dewi Remaja 2018/2019 akan menampilkan Dewi Remaja 2005/2006, Scha Al-Yahya sebagai pengacara.

Sementara itu, pelakon-produser Datuk Hans Isaac dilantik selaku juri tetap pada setiap minggu.

Ini adalah kerjasama kali kedua berturut-turut di antara pihak produksi dan Scha Al-Yahya selepas selebriti tersebut muncul sebagai pengacara program Pencarian Hero Remaja 2017; sekaligus meneruskan legasi di kalangan famili Hero Remaja dan Dewi Remaja.

Selain daripada paparan di layar kaca, program pencarian ini turut mendapat liputan menyeluruh dan terkini melalui laman digital serta sosial media Majalah Remaja.

Melalui paparan video yang menampilkan pengacara digital Safwan Nazri, penonton dan pengikut setiap peserta dapat menonton perjalanan para peserta, juri dan aktiviti yang berlangsung secara pantas.

Program ‘Dewi Remaja 2018/2019’ akan menemui penonton pada setiap hari Ahad, jam 10.30 malam secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) mulai 25 November 2018.

Manakala perkembangan terkini termasuklah paparan video dan temu ramah eksklusif mengenai penganjuran Dewi Remaja 2018/2019 juga turut boleh diikuti di ERA selaku radio rasmi.

Advertisement