
LABUAN: Seorang nelayan dikhuatiri hilang selepas pemancing menemukan sebuah bot tanpa pemandu di perairan Pulau Burung di sini pagi Sabtu.
Pengarah Zon Maritim Labuan Kepten Maritim Che Adnan Md Isa berkata kejadian disedari pemancing kira-kira jam 7 pagi selepas melihat bot yang dinaiki mangsa berpusing tanpa pemandu.
Katanya pada mulanya mangsa dilihat berada di atas bot pancing terbabit sebelum saksi beredar ke kawasan lain, bagaimanapun saksi kemudiannya melihat mangsa tiada di atas bot berkenaan sebelum menghubungi pasukan keselamatan untuk tindakan selanjutnya.
Tambahnya hasil maklumat daripada pihak keluarga mendapati mangsa dikenali sebagai Maddin Simion, 55 keluar menangkap ikan kira-kira jam 6 pagi sebelumnya.
"Bertindak atas kejadian dua bot kilat digerakkan ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bersama pasukan lain termasuk Pasukan Polis Marin Labuan, Jabatan Laut Labuan dan Pasukan Penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan.
"Operasi SAR turut dibantu beberapa bot dari penduduk kampung di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang," katanya sambil menambah bot mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Menurutnya pihak Maritim Malaysia mengambil berat akan isu keselamatan di laut yang membabitkan nelayan terutamanya pemancing bot kecil.
"Kita mengharapkan kerjasama orang awam agar membuat persiapan sepenuhnya termasuk membawa jaket keselamatan semasa keluar ke laut ," katanya.