
SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Haji Apdal berkata Kerajaan Negeri amat mengambil berat terhadap kepentingan para belia dan sentiasa menghargai peranan serta sumbangan mereka.
“Menyedari bahawa pemantapan belia adalah proses berterusan yang perlu digembleng secara bersepadu, kita komited untuk mempelbagaikan lagi ruang dan peluang, menyediakan peruntukan yang besar dan dasar pembangunan yang komprehensif bagi menjana kejayaan dan kecemerlangan belia,” katanya.
Beliau memuji usaha dan pendekatan bersepadu Kementerian Belia dan Sukan Sabah untuk melahirkan lebih ramai belia yang berpaksikan kemahiran, keusahawanan, kepimpinan dan kesukarelawan.
“Umpamanya bagi Kepimpinan Belia, saya difahamkan kementerian ini telah berjaya menggerak belia-belia di seluruh negeri Sabah untuk menubuhkan Persatuan Belia Akar Umbi dilahirkan melalui Program HakUpaya Persatuan," katanya.
Shafie berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Hari Belia Negeri Sabah di Dataran Tasik Kompleks Sukan Sandakan, pagi Sabtu.
Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalannya merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Haji Jaujan Haji Sambakong.
Beliau menyeru golongan belia berumur 15 hingga 40 tahun seramai 1.2 juta orang mengikut statistik anggaran penduduk 2017, supaya menetapkan hala tuju yang jelas dan menggilap sepenuhnya potensi diri untuk menjadi modal insan yang berkualiti dan dinamik bagi menyumbang kepada kemakmuran negara.
“Sebagai generasi dan pemimpin Harapan Masa Depan, amat penting untuk golongan belia meningkatkan budaya berpersatuan dengan menganggotai persatuan-persatuan belia di kawasan ataupun organisasi masing-masing," katanya.
Menerusi usaha ini, Shafie berkata ia bukan sahaja dapat menyemai nilai-nilai kepimpinan dan jati diri, malahan berupaya merapatkan barisan dan mengukuhkan kesatuan dalam kalangan para belia di seluruh negeri.
Pada majlis itu, Jaujan telah menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negeri Sabah kepada Iranmal Haji Kasan, Nur Fadilah Mohamad, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Tuaran dan Junior Chamber International Tanjung Aru.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Poon Ming Fung @ Frankie, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Arunarnsin Taib, Pembantu Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Arifin Asgali, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Datuk Peter Hii Chang Lik dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Datuk Haji Awang Damit Haji Awang Anak.