Anda di sini

Hati yang tidak pernah berhenti memberi

Advertisement
MENDIANG Dr Diana banyak menyumbangkan kepada kesejahteraan hidupan liar semasa hidupnya.

KOTA KINABALU: Dr Diana Angeles Ramirez Saldivar merupakan seorang doktor veterinar yang telah menyelamatkan hidupan liar dan banyak menyumbang kepada kesejahteraan hidupan liar di negeri Sabah. 

Walaupun berkhidmat jauh dari kampung halaman beliau di negara Mexico, dedikasi beliau yang tinggi dalam usaha pemuliharaan haiwan liar di Unit Penyelamatan Hidupan Liar (WRU) sejak tahun 2010 amat disanjungi. 

Pemergian beliau adalah kehilangan besar kepada komuniti pemuliharaan alam sekitar di negeri Sabah.

Walaupun dalam kesedihan, ibu Diana Concepcion Esperanza dan kakaknya Sandra Karina, ingin memperingati mendiang dengan menderma organ kepada orang Malaysia. 

Sandra berkata, Diana seorang yang penyayang dan sentiasa berusaha untuk menyelamatkan nyawa. 

Kata Dr Milena Salgado, sahabat karib kepada beliau, Diana sangat sukakan negeri Sabah, dan oleh itu melalui pendermaan ini, sebahagian daripada diri Diana akan terus berada di sini. 

Tambahnya, perjuangan beliau (Diana) akan diteruskan bukan sahaja melalui pekerjaannya yang telah memberi inspirasi kepada ramai orang, tetapi juga memberi peluang kedua untuk terus hidup kepada pesakit-pesakit kegagalan organ.

Datuk Dr Christina Rundi, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah memaklumkan kepada keluarga Diana bahawa kedua-dua buah pinggang Diana telah berjaya ditransplan kepada dua orang pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan telah menjalani rawatan dialisis selama 18 tahun, manakala hati beliau telah dipindahkan kepada seorang pesakit muda yang menghidap kegagalan hati. 

Organ lain seperti kornea, injap jantung dan tulang akan diproses dan digunakan untuk merawat lebih kurang 11 orang lagi pesakit lain.

DR. DIANA merupakan penderma organ keempat untuk tahun ini di Sabah dan jasanya tetap akan memberikan harapan dan akan terus dikenang sampai bila-bila.

Diana merupakan penderma organ keempat untuk tahun ini di Sabah. 

"Semoga kisah kehidupan Diana membuka mata dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan dan impak pendermaan organ di Sabah dan Malaysia," tambahnya.
 

Advertisement