Anda di sini

Belia disaran ceburi bidang keusahawanan digital

Advertisement
EWON.
EWON.

KOTA KINABALU: Belanjawan 2019 yang memberi tumpuan besar kepada Revolusi Perindustrian 4.0 seharusnya memberi motivasi kepada anak-anak muda khususnya di Sabah untuk menceburi bidang keusahawanan digital.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Ewon Benedick berkata, bidang itu berpotensi mencipta peluang pekerjaan kepada para graduan dan bukannya mencari pekerjaan.

"Bidang itu mampu mencipta pendapatan, bukannya menunggu pendapatan. Ianya juga memberi cabaran kepada sektor perkhidmatan awam untuk turut sama mendigitalkan perkhidmatannya termasuk sistem urus tadbir yang berkaitan. 

"Inilah juga yang saya sedang perjuangkan dan usahakan di kementerian saya agar setidak-tidaknya profil daerah dan setiap kampung di seluruh Sabah dapat didigitalkan. 

"Perbincangan saya dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri berkaitan ini telahpun saya laksanakan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada malam Jumaat.

Beliau berkata, pasti ada juga yang akan berpendapat tidak banyak projek pembangunan spesifik di Sabah dalam Belanjawan 2019.

Bagaimanapun katanya, ianya sudah dicakupi dalam bajet pembangunan lebih RM5 bilion untuk Sabah sepertimana dibentangkan.

"Untuk Belanjawan Persekutuan yang akan datang, wajarlah juga agar sebahagian besar bajet itu disalurkan sahaja kepada Kerajaan Sabah dan kitalah yang melaksanakannya sendiri sepertimana aspirasi rakyat Sabah. 

"Akhirnya, Belanjawan ini akan lebih 'lawa' setelah terlaksana sepenuhnya dan rakyat menikmati impaknya. Maka tanggungjawab kita semualah memastikan ini dapat dicapai. Mari kita saling bekerjasama. Sebagai pimpinan Upko inilah juga tanggungjawab parti," katanya.

Ewon berkata, pihaknya akan terus berkomunikasi dengan lebih kerap dan bekerjasama dengan rakan sejawatnya di peringkat persekutuan untuk merancang dan memantau projek-projek pembangunan KPLB persekutuan di Sabah.

Menurutnya, penerusan Projek Pan Borneo sangat dialu-alukan dan Kerajaan Sabah boleh melaksanakan sendiri projek itu melalui Jabatan Kerja Raya. 

Pendekatan itu juga akan melibatkan penjimatan sepertimana aspirasi rasionalisasi bajet projek ini seperti yang dibentangkan.

  • oleh
  • Advertisement