SANDAKAN: Sebagai generasi dan pemimpin harapan masa depan, adalah penting bagi golongan belia di negeri ini meningkatkan budaya berpersatuan.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata menerusi persatuan ia bukan sahaja dapat menyemai nilai-nilai kepimpinan jati diri, malah berupaya mengukuhkan kesatuan dalam kalangan belia.
Katanya berpersatuan juga dapat meningkatkan tekad belia sebagai pemangkin perpaduan, pendukung patriotisme dan sukarelawan, perintis keusahawanan serta pencetus inovasi dan kreatif.
Justeru, katanya, kerajaan negeri mengambil berat terhadap kepentingan belia dan sentiasa menghargai peranan dan sumbangan mereka.
“Menyedari bahawa pemantapan belia adalah proses berterusan, kita komited untuk mempelbagaikan lagi ruang dan peluang, menyediakan peruntukan besar dan dasar pembangunan komprehensif bagi menjana kejayaan dan kecemerlangan belia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Belia peringkat negeri di sini, semalam.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Jaujan Sambakong.
Mohd Shafie berkata Kementerian Belia dan Sukan negeri berada di landasan tepat dengan melaksanakan pendekatan bersepadu melahirkan ramai belia berpaksikan kemahiran, keusahawanan, kepimpinan dan kesukarelawan.
Sebagai contoh, katanya, dalam aspek kepimpinan belia, kementerian itu berjaya menggerak belia di seluruh negeri menubuhkan persatuan belia akar umbi menerusi Program HakUpaya Persatuan.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan negeri Datuk Poon Ming Fung berkata kementeriannya telah membangunkan Pelan Strategik Pembangunan Belia Negeri Sabah yang memfokuskan pembangunan belia untuk lima tahun.
Katanya pelan itu bagi mempersiapkan belia dalam beberapa aspek seperti kepimpinan, kesukarelaan, keusahawanan, keilmuan, dan kemasyarakatan.
“Ia dilaksnakan agar para belia kita bukan saja setanding dengan belia-belia di Semenanjung Malaysia, bahkan setanding dengan belia-belia di luar negara,” katanya.
Beliau berkata pelan tersebut kini dalam proses penerbitan dan akan dilancarkan dalam masa terdekat ini.
Pada majlis itu, Jaujan turut menyampaikan beberapa anugerah belia antaranya Anugerah Perdana Belia Negara peringkat negeri Sabah kepada Nur Fadilah Mohamad dan Iranmal Kasan (Kategori Wanita dan Lelaki) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Tuaran (Pertubuhan Belia).
Anugerah Ikon Belia Harapan kategori keusahawanan diterim Patang Bin Saharing, Azuwan (Kepimpinan) dan Ahmad Farid Sainuri (Kesukarelawan). — Bernama